ISTIADAT PERBARISAN SEMPENA SAMBUTAN HARI PAHLAWAN 2025

1 2 3
5 6 9
10 12 13
14 15 18
19 20 21
23 37 38
43 44 45

 

PUTRAJAYA, 31 Julai 2025 – Dataran Pahlawan sekali lagi menjadi saksi penghormatan tertinggi kepada pahlawan-pahlawan negara dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang berkenan menghadiri Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan 2025 di Dataran Pahlawan, Putrajaya hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua telah disambut oleh barisan kepimpinan tertinggi negara iaitu YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar serta Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail.

Istiadat dimulakan dengan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD). Acara diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, diiringi tembakan kehormatan artileri sebanyak 21 das.

Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai 'last post' dengan menurunkan Jalur Gemilang diikuti dengan deklamasi sajak berjudul “Darah Terpercik di Baju”. Tiupan "Paluan Fajar" turut dilaksanakan dengan menaikkan Jalur Gemilang.

Kemuncak istiadat pada tahun ini ialah persembahan pantomim bertajuk “Zabri Pejuang Sang Saka Biru” yang menyentuh hati para tetamu yang hadir. Persembahan khas daripada Polis Diraja Malaysia itu memperingati keberanian ASP Zabri Abd Hamid yang gugur dalam Ops Bamboo pada 4 September 1975.

Sambutan Hari Pahlawan saban tahun dilaksanakan ini bukan sekadar acara peringatan, malah menjadi wadah untuk rakyat mengenang jasa dan pengorbanan wira negara dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang sentiasa siap siaga mempertahankan maruah serta kedaulatan tanah air tercinta.

Turut hadir sama menyaksikan Istiadat ini adalah Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM dan isteri, Datin Sri Hjh Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor, Pegawai-pegawai Kanan, para pegawai serta anggota TUDM.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

AGENSI DALAMAN