HELIKOPTER EC 725 AP TUDM LAKSANAKAN PENERBANGAN IHSAN BAWA KANAK-KANAK MENGIDAP SAKIT LEUKEMIA

1 2 3

 

Pesawat helikopter EC 725 AP dari No. 5 Skuadron diterbangkan dari Pangkalan Udara Labuan semalam bagi melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit leukemia 'Refractory Relapse T-cell Acute Lymphoblastic Leukemia' dari Kota Kinabalu ke Tawau.

Kanak-kanak lelaki berkenaan iaitu adik Ukail Wafiq bin Sudirman, berusia 7 tahun sebelum ini telah mendapat rawatan di Hospital Likas, Kota Kinabalu, Sabah dan penerbangan ihsan tersebut bagi membawa pulang adik Ukail untuk jagaan keluarga di rumahnya di Tawau.

Pesawat yang dikendalikan oleh Komander Pesawat, Kapt Mohamad Nor Ilham bin Mohamed Anis TUDM dan Pembantu Juruterbang, Kapt Mohamad Horas Matupang bin Kardi TUDM telah terbang dari Pangkalan Udara Labuan pada jam 6.00 petang ke Kota Kinabalu bagi mengambil pesakit di Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pesakit tersebut seterusnya diterbangkan ke Tawau pada jam 7.00 malam dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Tawau jam 8.50 malam.

Anak kapal lain yang turut terlibat adalah Kuartermaster Udara (AQM) PW U II Sunerie bin Sugang, serta tiga (3) kru teknikal iaitu Sjn U Sarbini bin Abdullah, Kpl U Mohd Zulalif Safwan bin Zaini, Kpl U Nazrul Ashraf bin Nazarudin dan seorang pengiring dari 216 HANDAU iaitu Kpl U Radzie bin Jamil. Selain itu, penerbangan ini turut diiringi oleh seorang doktor perubatan, Kapt (Dr) Tzai Meng Onn dan dibantu oleh Pbt Muhammad Faiz bin Azmi dari 818 RSAT, Pangkalan Udara Labuan.

TUDM bersedia memberikan komitmen yang tinggi dalam menunaikan amanah yang ditugaskan termasuk memenuhi keperluan demi kesejahteraan rakyat yang sangat memerlukan pada masa-masa tertentu. Seluruh warga TUDM mendoakan agar adik Ukail Wafiq diberi kesembuhan dan kembali sihat. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penerbangan ihsan ini secara langsung mahupun tidak langsung terutamanya kepada anak kapal No. 5 Skuadron, anggota PU Labuan serta petugas kesihatan yang terlibat.