Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM serta warga TUDM yang bertugas di Markas Tentera Udara turut hadir ke program Forum Perdana sempena Hari Ulang Tahun Koperasi Tentera Ke-63 yang dilaksanakan di Auditorium Wisma Pertahanan pada hari ini.
Bertajuk “Integriti: Ringan Tapi Berat”, Forum Perdana yang dianjurkan secara bersama oleh Koperasi Tentera dan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) telah menampilkan dua panelis hebat yang merupakan figura dakwah negara iaitu Dato’ Ustaz Kazim bin Elias Al-Hafiz (Pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah dan Penceramah Bebas) dan Ustazah Asni binti Abu Mansor Al-Hafizah (Penceramah Bebas). Manakala Ustaz Fakhrul Radhi bin Khamarudin (Juara Akademi Al-Quran Musim Kedua, Pengacara Televisyen dan Penyanyi Nasyid UNIC) turut dijemput khas sebagai moderator. Pelbagai perkongsian dan mesej yang bermanfaat telah disampaikan oleh dua panelis hebat tersebut kepada semua warga ATM dan awam yang hadir berkaitan integriti yang bersandarkan al-Quran, hadis, sirah Rasulullah SAW serta keperibadian para sahabat.
Terdahulu, telah berlangsung sesi taklimat dari pihak Koperasi Tentera berkaitan produk-produk terkini yang ditawarkan oleh koperasi tersebut kepada warga ATM dan kemudiannya disusuli dengan acara cabutan bertuah sebanyak 30 hadiah yang ditaja oleh Koperasi Tentera. Turut berlangsung dalam program pada hari ini adalah penyerahan mockup cheque sumbangan bantuan rakyat Palestin berjumlah RM110,000.00 daripada ATM dan RM50,000.00 daripada Koperasi Tentera kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin melalui Kementerian Luar Negeri. Majlis ini telah disempurnakan oleh Jen Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Angkatan Tentera kepada Dato’ Ahmad Rozian bin Abd Ghani, Timbalan Ketua Setiausaha, Jabatan Dua Hala Kementerian Luar Negeri. Sumbangan ini sebagai tanda solidariti dalam membantu serta mendukung perjuangan rakyat Palestin yang sedang berhadapan dengan peperangan dan penjajahan dari pihak Zionis Israel Ketika ini.