PANGLIMA TENTERA UDARA TERIMA SAYAP PENERBANGAN KEHORMAT DI LAWATAN PENGENALAN KE ROYAL THAI AIR FORCE DI BANGKOK THAILAND

 

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah memulakan lawatan pengenalan ke Royal Thai Air Force (RTAF) di Bangkok Thailand bermula 1 hingga 5 Nov 23. Lawatan ini juga merupakan lawatan ulung Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM ke atas RTAF sejak beliau dilantik sebagai Panglima Tentera Udara Ke-20.

 
Lawatan ini turut diiringi isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan serta delegasi iaitu Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri, Puan DewiMastura binti Tumiran; AKS Materiel, Brigedier Jeneral Nor Azmi bin Abd Rahman TUDM dan isteri, Puan Saleha binti Shafi Mohammad dan Komander Air Warfare Centre, Kolonel Abdul Rahim bin Jusoh TUDM. Pesawat TUDM yang membawa Panglima Tentera Udara dan delegasi tiba di Pangkalan Udara Don Mueang telah disambut oleh Timbalan Pengarah Perisikan (Deputy Director of Intelligence) RTAF, Air Vice Marshal Angkharn Indra dan isteri, Mrs. Nongnoot Indra serta Penasihat Pertahanan Malaysia di Thailand, Brigedier Jeneral Samsul Rizal bin Musa.

 

Lawatan Pengenalan ini dimulakan dengan lawatan ke Markas RFAT pada 2 Nov 23. Sebaik ketibaan di Markas RTAF, Panglima Tentera Udara yang disambut ketibaannya oleh Commander-in- Chief RTAF serta kepimpinan tertinggi RTAF telah diberi penghormatan mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan dari pihak RTAF.

Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan TUDM seterusnya diraikan dalam Majlis Penganugerahan Sayap Penerbangan Kehormat yang disempurnakan oleh Commander-in- Chief RTAF, Air Chief Marshal Punpakdee Pattanakul. Penganugerahan yang mengiktiraf pemimpin tertinggi sesebuah organisasi ini menjadi simbolik kepada hubungan diplomasi pertahanan khususnya di antara dua angkatan udara yang telah terjalin sekian lama.

 

Seterusnya Panglima Tentera Udara membuat Kunjungan Hormat ke atas Commander-in- Chief RTAF, Air Chief Marshal Punpakdee Pattanakul. Beliau turut dipersembahkan dengan taklimat berkenaan organisasi RTAF. Seterusnya Panglima Tentera Udara dan delegasi diberikan taklimat berkaitan program menaiktaraf pesawat C130H serta melihat pesawat yang menjalani senggaraan program tersebut. Selesai lawatan tersebut, Panglima Tentera Udara dan delegasi dibawa melawat ke RTAF Aviation Museum. Lawatan ke muzium ini secara tidak langsung memberi pendedahan serta perkongsian ilmu dan pengalaman khususnya berkaitan pengurusan dan senggaraan muzium.

 

Pada sebelah malamnya, Panglima Tentera Udara dan isteri serta delegasi telah diraikan di Majlis Makan Malam Rasmi yang dianjurkan oleh Commander-in- Chief RTAF. Ketibaan Panglima Tentera Udara dan isteri telah disambut oleh Commander-in- Chief RTAF, Air Chief Marshal Punpakdee Pattanakul dan isteri, Mrs. Montira Pattanakul serta pegawai kanan RTAF. Di dalam ucapannya di majlis makan malam, Panglima Tentera Udara mengucapkan tahniah kepada Air Chief Marshal Punpakdee Pattanakul di atas pelantikan sebagai Commander-In-Chief RTAF yang baharu. Beliau turut menyentuh berkaitan hubungan kerjasama bilateral di antara TUDM dan RTAF yang terjalin sejak lama khususnya selepas termeterai kerjasama persempadanan di antara Malaysia dan Thailand bermula pada 4 Mac 77. Antaranya adalah melibatkan kerjasama bilateral dan hubungan diplomasi pertahanan dalam pelbagai aktiviti antaranya seperti Eksesais Air THAMAL, Program pertukaran pegawai, Latihan seperti SMEE T-50 FLIT-LCA RTAF-RMAF, kursus serta lawatan-lawatan rasmi. Panglima Tentera Udara secara peribadi turut merakamkan terima kasih kepada Air Vice Marshal Somporn Rompayom, Director, RTAF Cyber Centre atas kehadiran beliau di Air Chief Conference (ACC) semasa Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2023. Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, kedua-dua pemimpin bertukar cenderakenangan sebagai simbolik hubungan kerjasama kedua-dua pemimpin. 

 

Pada hari berikutnya, lawatan diteruskan dengan melawat Fleet Pesawat Pejuang Gripen. Panglima Tentera Udara dan delegasi diberikan taklimat pengoperasian melibatkan skuadron pesawat berkenaan serta dipersembahkan dengan demonstrasi penerbangan dan melawat pameran statik pesawat pejuang tersebut. Serentak dengan lawatan ini juga, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan dan delegasi turut diraikan dalam program rasmi ini. Berada di negara yang terkenal dengan menu masakan menarik, beliau dan delegasi turut dipersembahkan dengan resipi masakan Thailand malah turut mencuba resipi khas negara Thailand. Mengakhiri lawatan, Panglima Tentera Udara turut dibawa mengunjungi tempat-tempat bersejarah di negara yang terkenal dengan gelaran Negeri Gajah Putih. Lawatan kerja pengenalan oleh Panglima Tentera Udara adalah bagi mengeratkan hubungan diplomatik dan memperkukuhkan kerjasama pertahanan khususnya melibatkan TUDM dan RTAF demi menjaga kedaulatan negara dan keamanan serantau.