KUALA LUMPUR, 29 Mac 23 - Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Udara, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan telah hadir dan turut sama melaksanakan aktiviti Pembungkusan Barangan Hari Raya Aidilfitri 2023 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bersama Pengerusi Jemaah BAKAT Perkhidmatan dan ahli BAKAT yang diadakan di Dewan Seroja, Kem KEMENTAH. Turut serta ialah Datin Dr Halina binti Haron, Puan Dewi Mastura binti Tumiran dan ahli-ahli BAKAT Udara yang turut menyertai aktiviti pembungkusan barangan Hari Raya Aidilfitri.
Acara tahunan oleh Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM bersama Pengerusi Jemaah BAKAT Perkhidmatan serta ahli-ahli BAKAT ini adalah merupakan acara yang dilaksanakan oleh BAKAT ATM dan Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA) sejak lebih daripada 30 tahun yang lalu. Aktiviti yang melibatkan pembungkusan sebanyak 300 buah beg ini dilaksanakan sebagai simbolik penglibatan dan keprihatinan isteri-isteri tentera sebagai ahli BAKAT di dalam persiapan pembungkusan Beg Hari Raya berkenaan.
Bungkusan Hari Raya berkenaan juga adalah bagi menghargai pengorbanan dan khidmat bakti setiap perwira dan perajurit ATM yang bertugas demi memastikan kedaulatan dan kesejahteraan rakyat negara ini terus terpelihara. Di samping itu, ia juga sebagai sokongan semangat dan moral bagi mereka menyambut hari lebaran tahun ini tanpa keluarga di sisi tatkala rakan yang lain dapat menyambutnya dengan penuh kegembiraan bersama keluarga.
Pelbagai sumbangan dalam bentuk kewangan dan barangan seperti produk makanan kering serta barangan keperluan lain telah diterima oleh ATM melalui syarikat atau badan korporat serta individu perseorangan untuk ATM menyediakan bungkusan Beg Hari Raya yang akan diedarkan kepada para perwira dan perajurit ATM yang bertugas di dalam operasi dan gerakan di perbatasan tanah air mahupun di peringkat global semasa sambutan Aidilfitri ini.
Turut hadir ke majlis ini adalah Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mej Jen Mohamed Fauzi bin Khamis; Ketua Eksekutif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT), Dato' Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin; Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Datin Seri Ramlah binti Dawi dan Pengerusi Jemaah BAKAT Laut, Datin Dr. Norinah binti Mustapha bersama ahli-ahli BAKAT dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan.
#BAKATATM
#BAKATUdara
#HariRayaAidilfitri