50 PESAWAT MENGGEGAR RUANG UDARA PUTRAJAYA DI SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN TAHUN 2023

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12

 

PUTRAJAYA, 31 Ogos 23- Fokus tetamu kehormat dan kenamaan serta pengunjung yang hadir di Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 di Dataran Putrajaya tertumpu di ruang udara saat Kapten Aslam Hariri bin Abdul Rashid TUDM dan Kapten Nur Nadhirah binti Nazri TUDM mengambil alih tugas sebagai komentator bagi segmen Persembahan Udara. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah dipertanggungjawabkan mengetuai bagi Persembahan Udara pada Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023.
Persembahan udara ini juga menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang bercemar duli berangkat ke acara gilang-gemilang negara ini. Selain daripada itu, turut mencuri perhatian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan isteri, Yang Amat Berhormat Timbalan-timbalan Perdana Menteri dan isteri, ahli-ahli Jemaah Menteri serta tetamu kenamaan dan dif -dif jemputan yang lain.

Kelainan dan keunikan Persembahan Udara kali ini dengan penglibatan 50 pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba).

10 minit durasi persembahan udara dimulakan dengan terbang lintas 6 pesawat pejuang Su-30MKM (Sukhoi) diketuai oleh Pegawai Memerintah No 12 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Noraihan bin Abdul Karim TUDM dalam formasi “Delta”.

Antara formasi terbesar yang dikoordinasikan secara ekslusif bagi Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 telah menarik perhatian persembahan udara dengan 25 pesawat helikopter dalam formasi “Yankee” iaitu enam helikopter EC 725 AP, satu S 70-A Blackhawk dan tiga helikopter AW 139; pesawat milik TDM iaitu tiga helikopter MD530G dan dua helikopter Agusta A 109 LOH (Light Observation Helicopter); pesawat milik TLDM iaitu satu AW 139 HOM (Helikopter Operasi Maritim), satu SUPER LYNX dan dua FENNEC; dua helikopter AS 365 N3 milik APMM; helikopter milik PDRM iaitu satu AW 139 dan satu AS 355 N serta helikopter milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (UUBP) iaitu satu AW 139 dan satu A 109 E. Gabungan Fleet Helikopter ini diketuai oleh Leftenan Kolonel Paranjothi Manogharan TUDM, Pegawai Memerintah No 10 Skuadron. Persembahan udara dari gabungan helikopter turut membuat formasi “swarm” melintasi ruang udara Putrajaya melalui hadapan pentas utama yang disaksikan oleh tetamu diraja dan kenamaan.

Persembahan udara diikuti dengan lapan pesawat latihan TUDM yang bernaung di bawah Institut Penerbangan 1, Kolej Tentera Udara Alor Setar iaitu pesawat PC-7 MK II dalam formasi “Arrow Head” dan diketuai oleh Mejar Rose Adrianna binti Ibrahim TUDM.
Seterusnya diikuti terbang lintas gabungan dua jenis pesawat terbesar milik TUDM, pesawat angkut A400M dan tiga C130H yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Wan Azrul bin Wan Azmy TUDM, Pegawai Memerintah No 8 Skuadron dalam formasi “Diamond”.
Persembahan udara kemudiannya diikuti dengan deruman pesawat pejuang yang memukau penonton yang hadir dengan terbang lintas empat pesawat Hawk dalam formasi “Diamond” yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Hafiz bin Hj Abu Bakar TUDM, Pegawai Memerintah No 15 Skuadron; tiga pesawat F/A-18 D dalam formasi “VIC” diketuai oleh Leftenan Kolonel Muhd Faizal bin Ab Rahim TUDM dan enam pesawat Su-30 MKM dalam formasi “Delta” diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Noraihan bin Abdul Karim TUDM. Persembahan udara dari pesawat-pesawat pejuang ini membuat penampilan persembahan penutup dengan aksi aerobatik dan “fan burst”.

Persembahan Udara di Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 adalah merupakan simbolik kuasa udara dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara Malaysia dalam memaparkan kebolehupayaan dan kesiapsiagaan kuasa udara, yang mengabungkan kemahiran dan kepakaran ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia iaitu pesawat udara milik TUDM, TDM dan TLDM. Begitu juga penglibatan aset udara milik APMM, PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang juga memberikan peranan penting kebolehoperasian dan keupayaan mengikut fungsi dan peranan pasukan masing-masing demi keamanan dan kesejahteraan negara.