1488 PEGAWAI KADET PALAPES DITAULIAHKAN DI ISTIADAT PERBARISAN PENTAULIAHAN DIRAJA DAN PENGURNIAAN WATIKAH TAULIAH PEGAWAI KADET PALAPES UNIVERSITI AWAM KE-41

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12

 

SINTOK, 9 September 2023 – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah telah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam KE-41 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Kedah pada hari ini.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menghadiri istiadat perbarisan ini dan mengambil tabik hormat daripada anggota perbarisan sebaik ketibaannya di medan perbarisan. Keberangkatan tiba DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah telah disambut oleh beliau bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohamad bin Ab Rahman; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy bin Ithnain mewakili Panglima Tentera Laut; Naib Canselor UUM, Kolonel (Kehormat) Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan merangkap Komandan PALAPES UUM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM serta pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Turut hadir pegawai-pegawai kanan TUDM, antaranya AKS Sumber Manusia, Brigedier Jeneral Nazaruddin bin Haron TUDM; Komandan Kolej Tentera Udara, Brigedier Jeneral Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM; Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara, Kolonel Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM serta pegawai dan jurulatih dari PALAPES universiti awam yang terlibat.

Istiadat Perbarisan ini terdiri daripada 16 detasmen yang berkekuatan seramai 1,488 pegawai kadet yang terdiri daripada 799 pegawai kadet lelaki dan 689 pegawai kadet wanita daripada 20 universiti awam seluruh Malaysia diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Muhammad Irfan bin Mohamad dari PALAPES Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan dilaksanakan di Padang Kawad PALAPES UUM. Istiadat Perbarisan Pentauliahan ini merupakan istiadat perbarisan diraja terbesar dalam ATM yang melibatkan berjalan lalu semasa perlahan dan cepat dan pada kali ini dihadiri oleh DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah sebagai wakil kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah turut berkenan menyempurnakan Penganugerahan Pedang Kehormat kepada 37 Pegawai Kadet Terbaik Universiti Awam. Daripada jumlah ini, sembilan (9) orang adalah Pegawai Kadet Terbaik PALAPES TUDM dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).