![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 20 Julai 2025 β Sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-67, seramai 84 warga TUDM beragama Kristian yang merangkumi 80 pegawai dan anggota LLP serta empat veteran telah menyertai Upacara Sembahyang Khas yang berlangsung penuh khusyuk di Gereja Katolik The Good Shepherd (1964), Kuala Lumpur.
Upacara keagamaan ini dipimpin oleh Rev. Fr. Mitchel Joseph, bertujuan menzahirkan rasa syukur atas kejayaan dan pencapaian TUDM sepanjang 67 tahun penubuhannya. Dalam suasana penuh penghayatan dan kesederhanaan, para hadirin bersama-sama memohon keberkatan, perlindungan serta kesejahteraan buat seluruh warga udara dan negara tercinta.
Penganjuran sembahyang khas ini turut menjadi simbol pengiktirafan kepada kepelbagaian agama dalam TUDM, di samping memperkukuh hubungan antara warga Kristian TUDM dan komuniti setempat. Ia secara tidak langsung menggambarkan semangat inklusif yang sentiasa menjadi asas perpaduan dalam angkatan udara.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Inspektor Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Brig Jen Tan Chee Kee TUDM serta Mejar Jeneral Datoβ Johnny Loh Kok Kong TUDM (Bersara) yang turut berkongsi detik rohani penuh bermakna bersama warga Kristian TUDM.
Acara ini mencerminkan bahawa kekuatan TUDM bukan hanya pada keupayaan pertahanan udara, tetapi juga pada semangat kebersamaan, hormat dan nilai sejagat yang dihayati oleh seluruh warganya.