KERTEH, 11 Ogos 22 - TUDM telah melaksanakan Latihan Helideck Landing Training on Offshore Facilities (HLTOF) pada 10 Ogos 22 di Pelantar Seligi A, Perairan Terengganu. Tujuan latihan adalah untuk meningkatkan keupayaan kerjasama penggunaan "air element" dalam menangani ancaman keselamatan terhadap pelantar minyak Malaysia. Latihan ini telah melibatkan anak kapal No 10 Skn, No 5 Skn, Markas ATM, Markas Angkatan Bersama, MTU-BOS, MPOU, MAWILUD 1, POTU, RAOC 1, PETRONAS dan EnQuest.
Latihan ini juga adalah sebagai persediaan awal Eksesais Jerung Emas yang akan dianjurkan oleh Markas ATM bersama PETRONAS. Objektif latihan adalah untuk melatih dan menyediakan anak kapal yang berkelayakan bagi melaksanakan latihan pendaratan pesawat di pelantar pesisir milik PETRONAS.
Di samping latihan tersebut, seramai 20 orang warga ATM dan TUDM yang terdiri daripada pegawai dan anggota Lain Lain Pangkat dari pelbagai cawangan dan ketukangan telah membuat lawatan ke Weststar Aviation Service Sdn Bhd Kerteh, Terengganu bagi berkongsi tatacara keselamatan penerbangan dan keselamatan pengurusan hangar. Lawatan ini turut memberi pendedahan terhadap Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) yang telah dipraktikkan di samping mempelajari sistem pengurusan hangar di syarikat berkenaan. Delegasi lawatan telah disambut dan diraikan oleh Kapt Ab Fauzan bin Ab Karim selaku Base Manager Weststar Aviation Services Sdn Bhd.
Latihan dan lawatan ini telah diketuai oleh Pegawai Memerintah No 10 Skn iaitu Lt Kol Paranjothi Manogharan TUDM. Semoga dengan latihan dan lawatan seperti ini dapat memperkasakan lagi barisan hadapan negara dan meningkatkan tahap kesiagaan anak kapal. Sekalung ucapan terima kasih juga kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan latihan tersebut di samping mendapat ilmu dan pengalaman yang berbeza kepada semua yang terlibat.