TIM EAGLE TECH PAMER DEMONSTRASI KEUPAYAAN PROJEK INOVASI "SLOPT"

1 2 3
4 5 6

 

"SUPREMACY LEAN OF PORTABLE TARGET (SLOPT)" merupakan sebuah projek inovasi ciptaan Tim Eagle Tech dari Pangkalan Udara Sendayan yang diketuai oleh Mej Mohd Kaswadi bin Mansor TUDM dan dibantu oleh 6 ahli tim lain. Projek ini merupakan sistem elektronik mudah alih bagi memudahkan pengurusan penyusunan target plate di lapang sasar pistol yang mana berfungsi untuk menggerakkan motor bagi menyusun target plate secara kawalan jauh.

Satu demonstrasi khas telah dilaksanakan oleh Tim Eagle Tech kepada warga Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU) serta Unit Lodger di Pangkalan Udara Sendayan bagi menunjukkan tahap ketersediaan projek ini untuk digunakan semasa latihan menembak jatuh piring bagi senjata pistol.

Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (PPLU), Lt Jen Dato’ Zahani bin Zainal Abidin TUDM yang menyaksikan demostrasi khas tersebut turut mengiktiraf penghasilan projek SLOPT dan memuji usaha yang telah dilaksanakan oleh Tim Eagle Tech. Turut sama menyaksikan demostrasi khas projek SLOPT adalah Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kol Ahmad Rashidi bin Ithnin TUDM; Pengarah MPSTU, Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM dan Pengerusi Menembak TUDM, Lt Kol Amrul bin Yacob serta warga INSTAR.

Projek SLOPT ini juga telah tersenarai di dalam Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Kategori Penambahbaikan bagi Konvensyen KIK TUDM Tahun 2023 yang akan dipertandingkan bersama kumpulan-kumpulan dari unit-unit TUDM yang lain. Menurut Mej Mohd Kaswadi bin Mansor TUDM, beliau yakin bahawa projek inovasi dia bersama pasukannya mampu mencapai objektif penciptaannya bagi meningkatkan kecekapan pengurusan di lapang sasar pistol.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Tim Eagle Tech dan semoga projek ini mampu memberikan persaingan sengit kepada pasukan inovasi TUDM yang lain dalam Konvensyen KIK TUDM pada tahun ini.