FILIPINA, 14 Ogos 23 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam Eksesais Pacific Airlift Rally (PAR) 2023 yang bermula pada 14 sehingga 18 Ogos 23 di Clark Air Base, Filipina. Eksesais ini melibatkan 11 pegawai TUDM, 2 pegawai perubatan, 12 anggota TUDM dan sebuah pesawat C130H.
Majlis pembukaan eksesais ini telah disempurnakan Mej Jen Joannis Leonardi B Dimaano, The Commander of Air Mobility Command, Philippine Air Force hari ini di Main Ballroom, Officer’s Club, Clark Air Base. Di dalam ucapan perasmian, beliau menekankan kerjasama, perpaduan, dan perkongsian kepakaran dari pelbagai negara demi menjamin keselamatan serantau yang lebih efisien.
Selain itu, eksesais ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesediaan operasi, kebolehoperasian dan memupuk semangat kerjasama antarabangsa di kalangan negara-negara yang mengambil bahagian. Eksesais kali ini melibatkan penyertaan sebanyak 14 buah negara dengan kekuatan seramai 779 peserta yang mengambil bahagian di dalam Field Trainning Exercise (FTX), Table Top Exercises (TTX), Subject Matter Expert Exchanges (SMEE) dan juga membabit enam buah pesawat C130 kargo dari Philippine Air Force (PAF), United States Air Force (USAF), Japan Air Self Defense Force (JASDF), Tentara Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) dan TUDM terlibat di dalam eksesais pada kali ini.