Select your language

SUKAN ANTI DADAH DAN LATIHAN ANSUR MAJU 7KM TINGKAT KESEDARAN SERTA KECERGASAN WARGA PU SUBANG

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

SUBANG, 2026 – Jawatankuasa Anti Dadah (JKAD) Pangkalan Udara Subang dengan kerjasama Sel Latih Pangkalan telah menganjurkan Sukan Anti Dadah Penggal Pertama 2026 dan Latihan Ansur Maju 7 Kilometer di Padang Kawad, Pangkalan Udara Subang sebagai usaha memperkukuh kesedaran warga pangkalan terhadap bahaya penyalahgunaan dadah serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Program yang mendapat sokongan dan penyertaan Pegawai Memerintah skuadron dan unit serta ketua-ketua cawangan itu berjaya menghimpunkan seramai 369 warga pangkalan yang terdiri daripada pegawai dan anggota. Kehadiran yang memberangsangkan ini membuktikan komitmen warga pangkalan dalam menjayakan aktiviti yang berteraskan kesejahteraan, kecergasan dan pembentukan sahsiah diri.

Sebagai persediaan menghadapi Larian 10 Kilometer yang akan datang, program dimulakan dengan sesi pemanasan badan dan regangan bagi memastikan peserta berada dalam keadaan fizikal yang optimum sebelum memulakan larian. Aktiviti kemudiannya diteruskan dengan Latihan Ansur Maju sejauh 7 kilometer yang bertujuan meningkatkan tahap stamina, daya tahan fizikal dan kesiapsiagaan warga pangkalan.

Selain menjadi platform meningkatkan kecergasan, program ini turut memainkan peranan penting dalam menyemai kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah yang boleh menjejaskan kesihatan, prestasi kerja dan masa depan anggota. Penganjuran Sukan Anti Dadah juga selaras dengan usaha berterusan TUDM untuk melahirkan warga yang berdisiplin, berintegriti dan bebas daripada gejala negatif.

Pelaksanaan program ini bukan sahaja berjaya memperkukuh tahap kecergasan fizikal peserta, malah turut memupuk semangat kerjasama, disiplin serta ketahanan diri dalam kalangan warga pangkalan. Nilai-nilai ini amat penting dalam memastikan setiap anggota sentiasa bersedia untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan.

Dalam ucapan penutup, Pegawai Eksekutif Pangkalan menyeru seluruh warga pangkalan agar terus membudayakan aktiviti sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat serta menjadikannya sebagai benteng daripada gejala negatif khususnya penyalahgunaan dadah. Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kesejahteraan diri, keluarga dan perkhidmatan demi memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dapat dikekalkan.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pegawai Anti Dadah Pangkalan, Lt Kol Putri Noor Zuliana binti Megat Ahmad TUDM, Ahli Jawatankuasa Anti Dadah (JKAD) serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Penganjuran program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai manifestasi komitmen berterusan Pangkalan Udara Subang dalam melahirkan warga yang cergas, produktif dan bebas daripada penyalahgunaan dadah, selaras dengan aspirasi perkhidmatan untuk mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang unggul.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

AGENSI DALAMAN