IPOH, 15 Dis 24 - Sambutan Hari Keluarga peringkat Akademi Tentera Udara (ATU) telah diadakan selama sehari bertempat di Refarm Leisure Park, Kampar. Program tahunan seumpama ini dijalankan bermula dengan sesi pendaftaran seawal jam 0730 dengan kehadiran seramai 786 orang yang terdiri daripada semua pegawai, staf dan kakitangan awam Akademi yang turut membawa seisi keluarga.
Sambutan ini turut dimeriahkan dengan gelagat anak kecil yang turut serta dalam pelbagai aktiviti permainan sukaneka yang dijalankan mengikut peringkat umur. Gelak tawa dan sokongan tiada henti yang diberikan oleh staf dan ahli keluarga masing-masing menggamatkan suasana pada hari tersebut. Objektif Hari Keluarga ini adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim antara warga ATU dan memberikan suntikan moral kepada mereka setelah penat lelah bekerja mencari rezeki sepanjang tahun. Ianya juga seiring dengan Pelan Strategik TUDM untuk mewujudkan 'Work Life Balance' dalam kalangan anggota. Antara pengisian aktiviti yang diadakan adalah aktiviti sukaneka, riadah santai serta pelbagai kemudahan rekreasi yang terdapat di dalam pusat peranginan tersebut antaranya kolam renang, zoo mini, terowong masa dan hidangan sajian sepanjang sambutan ini berlangsung. Semua yang hadir dapat melakukan aktiviti bebas bersama keluarga tercinta seperti berkelah serta beramah mesra antara keluarga masing-masing.
Sambutan ini telah dirasmikan oleh Komandan Akademi Tentera Udara, Kol Rafiddee bin Dollah TUDM dan diserikan dengan kehadiran barisan eksekutif, staf serta anggota sokongan yang lain. Secara keseluruhannya, Hari Keluarga ATU mendapat sambutan yang baik dan berjalan lancar serta mencapai objektif yang disasarkan seiring dengan Tonggak ke-6 Perintah Ulung Panglima Tentera Udara (PTU) iaitu Kebajikan Sosial dan Kelestarian Warga. Warga Akademi Tentera Udara memegang teguh slogan ATU, Cergas Berdisiplin!