2 April 21 - "RMAF Recovery Day" yang memasuki hari kedua dan hari terakhir fasa pelaksanaannya pada hari ini memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti seperti pengemaskinian dan penilaian semula aset serta kelengkapan termasuk juga aktiviti domestik dan penambahbaikan kawasan kerja.
Sepanjang dua hari pelaksanaan “RMAF Recovery Day”, objektif program ini telah dicapai dengan jayanya hasil daripada pengisian aktiviti yang terancang di pangkalan dan unit-unit khasnya dan penglibatan secara maksimum warga TUDM. Program telah memberi impak positif yang dapat meningkatkan kesiagaan aset operasi dan latihan TUDM. Selain itu, ia turut memperkasakan budaya kerja berteraskan keselamatan di kalangan warga TUDM melalui amalan norma baharu dan pematuhan SOP.
"RMAF Recovery Day" merupakan satu inisiatif pro-aktif bagi mengutarakan keprihatinan pucuk pimpinan tertinggi TUDM terhadap isu-isu kesiagaan dan keselamatan aset yang perlu diberi perhatian dan dibawa ke tahap yang lebih tinggi. Pembudayaan pengurusan cemerlang seperti ini perlu dijadikan sebagai salah satu medium nilai tambah kepada pengetahuan dan pendedahan kepada warga TUDM. Ianya juga seiring dengan Teras keempat di dalam Perintah Ulung PTU iaitu memperkasakan keupayaan operasi TUDM khususnya dalam menentukan sistem dan sumber manusia yang sentiasa bersedia seperti keperluan “readiness condition” yang ditetapkan dan mengoptimumkan sumber kepada keperluan misi operasi, eksesais dan latihan kemahiran.