SENDAYAN , 9 Apr 21 – Sebagai menyahut seruan Panglima Tentera Udara yang mahukan kelestarian alam sekitar terpelihara, Pangkalan Udara Sendayan telah mengorak langkah mewujudkan Program Bumi Hijau di kawasan persekitaran pangkalan yang membolehkan semua peringkat anggota menyumbang benih pokok yang dapat membuahkan hasil untuk dinikmati oleh semua warga pangkalan pada masa akan datang.
Sebanyak 30 benih pokok terdiri daripada jenis Durian Musang King dan Duri Hitam, Pokok Rambutan serta Pokok Mata Kucing telah ditanam di sekitar kawasan Rumah Keluarga PU Sendayan yang telah disempurnakan pelancarannya oleh Lt Kol Ahmad Rashidi bin Ithnin TUDM, Pegawai Laksana Pangkalan.
Dalam ucapannya, beliau amat komited dan berterima kasih kepada semua pihak terutama Jabatan Pertanian Negeri Sembilan yang telah banyak memberikan khidmat nasihat mengenai penjagaan pokok-pokok tanaman dalam usaha PU Sendayan menjadikan Program Bumi Hijau sebagai usaha mengekalkan kelestarian alam.
Pelancaran Program Bumi Hijau yang dilancarkan ini telah menarik minat semua peringkat anggota warga pangkalan untuk sama-sama menyumbang dan bergotong-royong menjayakannya bersama.