SUBANG, 27 Feb 23 - Kerjasama di antara Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah menganjurkan Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) bertempat di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang. Program tersebut telah menarik minat seramai 270 orang peserta yang terdiri dari Ahli BAKAT Udara dari BAKAT PU Subang, BAKAT Operasi dan Bantuan (BOB), BAKAT Markas Tentera Udara, BAKAT Pangkalan Udara Sendayan, BAKAT Pangkalan Udara Jugra dan BAKAT INSMAT serta turut mendapat penyertaan dari Jemaah BAKAT Udara.
Selaras dengan cogan kata "Memperkasa Usahawan Hari Esok", INSKEN merupakan sebuah agensi di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program-program latihan dan bimbingan. INSKEN berperanan memastikan program-program yang dianjurkan adalah berdasarkan keperluan dan permintaan industri dengan kerjasama pengamal industri, profesional dan agensi-agensi kerajaan bagi memantapkan ekosistem keusahawanan negara.
Idea kerjasama BAKAT dan INSKEN melalui anjuran Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) mengutamakan pendedahan, pemerkasaan serta membuka ruang bagi ahli BAKAT Udara dalam industri keusahawanan berpandukan platform dropship dan ejen. Bermula dengan memperkenalkan platform dropship melalui modul, Dropship as Your Career, peserta didedahkan berniaga secara dropship sebagai salah satu cara mudah untuk memulakan perniagaan. Selain daripada itu, peserta juga didedahkan dengan teknik-teknik menjadi usahawan dropship berjaya serta teknik pemasaran (marketing) yang berkesan dengan menggunakan platform media sosial secara atas talian (online).
Secara keseluruhannya, maklum balas daripada kebanyakan peserta menyatakan program yang dianjurkan ini adalah amat baik dan dapat dipraktikkan bagi peserta yang telah meceburkan diri dalam industri keusahawanan serta membuka ruang baharu bagi peserta yang ingin menceburi industri keusahawanan. Program ini juga dilihat telah mencapai objektif utama dalam memperkasa usahawan BAKAT Udara.