GONG KEDAK, 27 Feb 23 – Asisten Ketua Staf Perancangan & Pembangunan, Mej Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM telah menghadiri Majlis Menandatangani Dokumen sempena Penyerahan Kerja-kerja Penurapan Semula Landasan Terbang PU Gong Kedak yang telah dilaksanakan di Dewan Puteri, PU Gong Kedak anjuran JKR Unit Tentera, Negeri Kelantan. Turut hadir adalah Setiausaha Bahagian (SUB) Kewangan Kementerian Pertahanan, Datuk Muhamad Zamani bin Mohd Ali; Pengarah JKR Negeri Kelantan, Ir. Mohd Suhaili bin Ismail; Komander Pangkalan, Kol Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM dan Pengarah Urusan EDGENTA PROPEL Berhad, En Shariman Yusuf bin Mohamed Zain selaku kontraktor utama bagi projek ini.
Majlis dimulakan dengan tayangan montaj kerja-kerja penurapan semula yang dijalankan di Landasan Terbang, PU Gong Kedak seterusnya disusuli dengan ucapan oleh, Ir. Mohd Suhaili bin Ismail, Pengarah JKR Negeri Kelantan. Selesai ucapan, majlis diteruskan dengan menandatangani dokumen sempena Majlis Penyerahan Kerja-kerja Penurapan Semula Landasan Terbang kepada pihak TUDM diantara Pengarah JKR Negeri Kelantan dengan Asisten Ketua Staf Perancangan & Pembangunan.
Selesai majlis penyerahan tersebut, delegasi telah dibawa ke tapak projek Kerja-Kerja Penurapan Semula Landasan Terbang bagi melihat semula hasil dan mutu kerja projek yang telah siap dilaksanakan. Turut hadir bersama adalah delegasi-delegasi daripada MTU-P&P, MTU Materiel, Wakil Kementerian Kewangan, Eksekutif Pangkalan dan staf JKR Negeri Kelantan.