GONG KEDAK, 1 Mac 23 – Pejabat Pendidikan Pangkalan Udara Gong Kedak telah menganjurkan program Pendidikan Kesejahteraan Keluarga (PKK) Tentera - Tahap 1 yang bertajuk “Pasangan Ideal, Kunci Kebahagiaan” di Dewan Serbaguna, Pangkalan Udara Gong Kedak.
Program PKK yang dianjurkan pada kali ini menyasarkan pegawai dan anggota yang masih bujang dan berhasrat untuk mendirikan rumahtangga yang disertai seramai 50 orang peserta. Manakala penceramah jemputan PW II Mohd Lokman bin Ismail, PW Pendidikan Pusat Latihan Ordnans turut bersama-sama mengupas mengenai cara-cara memahami, mempelajari dan mendalami kaedah untuk mencapai keharmonian dalam rumahtangga terutamanya pada fasa mula perkahwinan.
Melalui program ini diharap dapat membuka minda para peserta untuk merancang, bertindak dan cara-cara untuk mengatasi masalah rumahtangga yang berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia umumnya yang membelenggu anak muda yang baru mendirikan rumahtangga sehingga membawa kepada ketegangan rumahtangga, penceraian, masalah-masalah sosial yang lain dan lebih teruk menyebabkan anak-anak diabaikan bagi mereka yang telah mempunyai cahaya mata.
Turut hadir memeriahkan program ini ialah Pemangku Komander Pangkalan, Lt Kol Mazlizan bin Shaikh Osman TUDM dan Ketua Cawangan Tadbir, Lt Kol Juhaini binti Jaafar TUDM.