PROGRAM MINGGU KESELAMATAN PANGKALAN UDARA BUTTERWORTH TAHUN 2023

1 2 3
4 5 6

 

BUTTERWORTH, 27 Jul 23 - Program Minggu Keselamatan Pangkalan Udara Butterworth bertemakan "Towards Zero Accident" telah dirasmikan oleh Komander Pangkalan, Brig Jen Khairol Muzambi bin Salehin TUDM di Auditorium No. 18 Skuadron. Program ini telah dikoordinasikan oleh Pegawai Keselamatan Pangkalan, Mej Zairol Azreel bin Auzzir TUDM bersama Komuniti Keselamatan PU Butterworth.

Tema "Towards Zero Accident" atau Ke Arah Kemalangan Sifar dipilih pada tahun ini berikutan kadar kemalangan jalan raya yang meningkat saban tahun di negara kita. Jalan utama berhadapan PU Butterworth telah digazetkan sebagai lokasi berisiko tinggi boleh berlakunya kemalangan.

Bagi memupuk kesedaran kepada warga pangkalan, beberapa agensi telah dijemput untuk menyampaikan ceramah berkaitan keselamatan jalan raya, antaranya adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta 816 RSAT PU Butterworth.

Pada hari terakhir program tersebut, Komander Pangkalan telah menyempurnakan penyampaian Sijil Anugerah Khidmat Terpuji kepada pegawai dan anggota yang telah menunjukkan sikap ketelitian, keprihatinan serta dedikasi semasa menjalankan tugas. Semoga dengan pengiktirafan yang diberikan dapat menaikkan semangat pegawai dan anggota yang lain agar lebih peka terhadap aspek keselamatan semasa berada di tempat kerja mahupun di kediaman bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Selain itu, Komander Pangkalan turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi Pertandingan Poster Keselamatan sempena Program Minggu Keselamatan pada tahun ini. Tahniah diucapkan kepada para pemenang.