GONG KEDAK, 9 Jun 22 - Pangkalan Udara Gong Kedak dengan kerjasama Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Klinik Kesihatan Kuala Besut dan Pejabat Kesihatan Daerah Besut telah melaksanakan program kesihatan di Dewan Puteri, PU Gong Kedak. Program ini bertujuan memberikan peluang dan kemudahan kepada seluruh warga PU Gong Kedak dan keluarga untuk memeriksa tahap kesihatan masing-masing. Program ini juga dapat memberi pendedahan kesedaran kesihatan dan juga maklumat kesihatan terkini. Program ini merupakan inisiatif pihak Pangkalan bersama-sama Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Klinik Kesihatan Kuala Besut dan Pejabat Kesihatan Daerah Besut bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) ke-64 yang disambut pada 1 Jun 22 yang lalu. Antara program yang dijalankan adalah Program Derma Darah, Pemeriksaan Mata, Telinga, Ujian Saringan Pap Smear dan pameran kesihatan.
Jumlah kehadiran adalah seramai 500 orang yang terdiri daripada pegawai, anggota LLP serta orang awam. Ujian Saringan Pap Smear pula telah diadakan di Klinik Keluarga, Pangkalan Udara Gong Kedak dengan jumlah pendaftaran seramai 50 orang.
Dalam program ini juga, Komander Pangkalan, Kol Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM turut hadir melihat aktiviti serta pameran kesihatan yang dianjurkan. Beliau juga turut berkesempatan untuk melakukan pemeriksaan mata didalam program yang dianjurkan pada kali ini.
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Klinik Kesihatan Kuala Besut dan Pejabat Kesihatan Daerah Besut telah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak TUDM amnya serta PU Gong Kedak khasnya terhadap keprihatinan, tanggungjawab Pangkalan terhadap seluruh anggota termasuk keluarga masing-masing. Pihak pangkalan turut berterima kasih kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Klinik Kesihatan Kuala Besut dan Pejabat Kesihatan Daerah Besut kerana sudi menjayakan program tersebut pada kali ini. Sebagai tanda penghargaan, Komander Pangkalan, Kol Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM juga telah menyampaikan cenderamata kepada wakil pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.