PROGRAM JIWA SATRIA REMAJA PERKASA DI BAWAH INISIATIF CIVIL-MILITARY COOPERATION (CIMIC) TUDM TAHUN 2025

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

GONG KEDAK – Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) telah berjaya menganjurkan Program Jiwa Satria Remaja Perkasa di bawah inisiatif Civil-Military Cooperation (CIMIC) Peringkat PUGK bagi tahun 2025. Program ini telah berlangsung selama tiga hari, bermula pada 15 hingga 17 Mei 2025, bertempat di SMK Tengku Mahmud, Besut, Terengganu.

Program ini merupakan salah satu pelaksanaan inisiatif di bawah Teras Keempat, Pelan Strategik MINDEF 2022–2025, yang menekankan pengukuhan kerjasama strategik antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan komuniti awam.

Seramai 100 orang pelajar Tingkatan 2 hingga 4 dari tujuh buah sekolah menengah di sekitar negeri Kelantan dan Terengganu telah menyertai program ini. Objektif utama penganjuran adalah untuk membina jati diri serta semangat patriotisme dalam kalangan remaja, di samping memupuk nilai kepimpinan, disiplin, semangat kerjasama dan memperkenalkan kerjaya dalam bidang ketenteraan.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan, antaranya demonstrasi pemasangan khemah dan teknik masakan rimba oleh anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU). Aktiviti fizikal pula telah dikendalikan oleh jurulatih jasmani, manakala aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah, bacaan Yasin dan tahlil, tatacara solat di medan perang serta qiamullail telah dipimpin oleh anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Selain itu, beberapa sesi ceramah turut diadakan meliputi topik seperti pengurusan kecemasan, motivasi, integriti, serta aktiviti team building yang bertujuan membentuk sahsiah diri dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

Ceramah kerjaya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut disampaikan oleh pegawai dari No. 12 Skuadron, yang memberikan pendedahan kepada para peserta berkenaan peranan dan fungsi ATM, khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam menjaga kedaulatan negara.

Para peserta juga telah diberi peluang untuk melawat Pangkalan Udara Gong Kedak bagi melihat dengan lebih dekat operasi harian TUDM serta memahami dengan lebih mendalam tugas dan tanggungjawab anggota tentera udara.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, para peserta telah terlibat dalam aktiviti Jiwa Murni seperti gotong-royong membersihkan kawasan Pantai Bukit Keluang. Pada hari terakhir program, aktiviti Jiwa Murni diteruskan dengan usaha pembersihan kawasan sekolah, melibatkan penyertaan seramai 100 anggota dari PU GK. Aktiviti ini bukan sahaja memupuk semangat kesukarelawanan, malah mempererat hubungan antara warga tentera dan komuniti setempat.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

AGENSI DALAMAN