IPOH, 1 Apr 22 - Komandan Akademi Tentera Udara (ATU), Kol Junairi bin Baharom TUDM telah hadir ke Program Derma Darah Peringkat ATU yang dianjurkan oleh 709 Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) bertempat di Dewan Rajawali ATU. Program kerjasama ini adalah sebahagian dari aktiviti Jiwa Murni Akademi bersama-sama Unit Tabung Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Program Derma Darah ini melibatkan dua (2) orang Pegawai Perubatan dan 20 orang staf unit tabung darah. Jumlah pendaftaran adalah seramai 174 orang dan hanya 168 orang yang layak menderma darah.
Program ini merupakan kempen yang dilaksanakan oleh Unit Tabung Darah HRPB iaitu “1 Darah, 1 Penyelamat”. Program ini dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan seperti penjarakan sosial, saringan pemeriksaan suhu, dan personal hand hygiene bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Pihak Tabung Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak TUDM amnya serta Akademi Tentera Udara khasnya terhadap sikap keprihatinan dan tanggungjawab terhadap masyarakat dalam memupuk kesedaran menderma darah di kalangan anggota tentera.