KUANTAN, 21 Okt 22 – Institut Latihan Pengurusan Ruang Angkasa (INSPRA) telah mengadakan Pertandingan Futsal peringkat INSPRA yang berlangsung di Gelanggang Futsal Mawilud 1, Pangkalan Udara Kuantan. Terdapat empat pasukan yang menyertai pertandingan ini yang terdiri daripada Sekolah Kawalan Pertahanan Udara (SKPU), Sekolah Kawalan Trafik Udara (SKTU), Sekolah Bomba dan Menyelamat (SBM), Sekolah Komunikasi (SKOM) dan Bahagian Bantuan INSPRA.
Komandan INSPRA, Kol Mohd Shahfreen bin Baba TUDM diiringi oleh Ketua Jurulatih Latihan, Lt Kol Sharidan bin Nemad TUDM telah menyempurnakan majlis penutup yang dimulai dengan gimik penyerahan bola kepada pengadil perlawanan dan seterusnya merasmikan perlawanan akhir di antara Pasukan Sekolah Bomba dan Menyelamat (SBM) dengan Sekolah Kawalan Pertahanan Udara (SKPU) yang diakhiri dengan jaringan 6-1. Komandan INSPRA turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pemenang iaitu SBM (Johan) dan SKPU (Naib Johan) seterusnya mengumumkan Juara Keseluruhan Sukan INSPRA tahun 2022 iaitu dari Sekolah Bomba dan Menyelamat.
Komandan INSPRA turut menyampaikan Amanat Panglima Tentera Udara dengan memberi penekanan Tonggak Ke–6 iaitu Kebajikan Sosial dan Kelestarian Warga. Berpandukan kepada tonggak ke-6, dengan menentukan setiap warga diberi masa dan ruang untuk bersukan dan menggunakan kemudahan yang disediakan di dalam pangkalan. Aktiviti sukan seperti ini dapat meningkatkan tahap kesihatan dan menjana semangat kesukanan bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, intelektual dan rohani. Acara ini juga diadakan sebagai satu platform untuk memupuk semangat kerja berpasukan selain mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara semua staf, jurulatih dan peserta kursus INSPRA.