PERBARISAN PENGARAH PASUKAN SIMPANAN TENTERA UDARA

1 2 3
4 5 6

 

SENDAYAN, 24 Jul 24 - Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara (MPSTU) telah melaksanakan Perbarisan Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara (PSTU) bertempat di Padang Kawad, Pangkalan Udara Sendayan. Sebaik ketibaan, Pengarah PSTU, Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM telah mengambil tabik hormat daripada kontinjen perbarisan yang terdiri daripada lima Pegawai, 40 Anggota Lain-lain Pangkat (LLP) dan 66 Pegawai Kadet PALAPES Udara dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak diketuai oleh Kapt Harith Fadzilah bin Hussin TUDM. Turut hadir pada perbarisan kali ini adalah Ajutan dari Unit PALAPES Udara Universiti Awam dan 20 Pegawai Simpanan Sukarela TUDM dari PALAPES Udara UIAM selain Pegawai dan anggota LLP dari MPSTU.

Perbarisan statik ini merupakan Perbarisan Pengarah PSTU yang pertama diadakan pada tahun yang menjadi tradisi rejimental dalam ATM serta salah satu tuntutan Direktif PTU No 17 iaitu dalam melaksanakan aktiviti rejimental dalam budaya TUDM untuk para pemerintah menzahirkan aspirasi dan memaklumkan perkara-perkara penting yang terkini secara terus kepada seluruh warga di bawah naungan.

Dalam ucapannya, Pengarah PSTU memberi penekanan berkaitan masalah disiplin dan tatatertib serta isu melibatkan jenayah dan pelanggaran undang-undang serta mengingatkan agar kejadian sedemikian tidak menular berlaku di kalangan pegawai dan anggota di bawah MPSTU. Beliau menegaskan bahawa ATM amnya dan TUDM khasnya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peringkat anggota yang melakukan masalah disiplin atau pelanggaran undang-undang. Antara isu yang ditekankan adalah masalah Tidak Hadir Bertugas, Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC), terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan penglibatan dalam judi termasuk judi atas talian. Seseorang anggota yang melakukan kesalahan, akan dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 manakala untuk kes penyalahgunaan dadah dan judi atas talian adalah di bawah Direktif PTU No 5, 5a & 5b yang boleh dijatuhkan hukuman yang setimpal serta proses pentadbiran pemberhentian serta ditamatkan perkhidmatan dalam ATM perlu dijalankan selepas anggota didapati bersalah. Semua warga MPSTU perlu berusaha untuk menjadi seorang pegawai dan anggota yang berwibawa dan profesional yang memerlukan sebarang tugas dilaksanakan secara kompeten, perlu mempunyai minda yang terbuka, berinovatif dan berinisiatif di dalam melaksanakan amanah dan berupaya untuk mengurus dan menyelesaikan masalah dengan sebaik-baiknya.

Mengakhiri ucapan, Pengarah PSTU mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan, bantuan dan usaha yang telah dicurahkan khususnya sepanjang melaksanakan program MPSTU pada tahun ini.

 #Profesionalisme
#WargaUdara
#SentiasaDiAngkasaRaya
#SentiasaSedia
#PasukanSimpananTenteraUdara