SENDAYAN, 20 Jan 22 - Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU) telah melaksanakan Perbarisan Ketua Staf bertempat di Padang Kawad Markas yang dihadiri semua “Key Personnel” Markas, Pegawai dan Anggota serta Kakitangan Awam yang berkhidmat di MPPLU.
Perbarisan ini diketuai oleh Mej Wan Amirul Faiz bin Wan Muhammad TUDM dari Bahagian Peperiksaan, Ajutan Perbarisan Kapt Mohammad Faizal bin Mustafar TUDM dari Bahagian Kejuruteraan dan Pegawai Waran Perbarisan PW U II Mohd Helmi bin Haron dari Bahagian Peperiksaan.
Ketua Staf MPPLU, Brig Jen Abdul Halim bin Othman TUDM dalam ucapannya telah menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga MPPLU kerana berjaya melaksanakan tugasan bagi tahun 2021 meskipun dalam suasana norma baharu. Beliau juga menyarankan semua staf MPPLU untuk meneruskan komitmen yang tinggi agar segala perancangan Markas bagi tahun 2022 dapat dicapai dengan cemerlang. Disamping itu beliau turut menegaskan semua peringkat pegawai dan anggota mahupun awam supaya memainkan peranan dalam membenteras gejala najis dadah berbahaya mahupun racun terkawal sebagaimana dinyatakan di dalam Direktif PTU No 5 dan 5A.
Akhir kata, beliau menyarankan semua warga Markas hendaklah menanamkan sifat dan iltizam bagi terus meningkatkan keupayaan serta kesiagaan MPPLU.
Perbarisan seterusnya menyaksikan majlis permakaian pangkat oleh Ketua Staf kepada satu (1) pegawai MPPLU iaitu Lt Ahmad Shuhardy bin Anuar TUDM yang telah dinaikkan ke pangkat Kapten TUDM.
Seluruh warga MPPLU merakamkan sekalung tahniah kepada pegawai terbabit di atas kenaikan pangkat.