SUBANG, 5 Mac 21 – Pangkalan Udara Subang telah melaksanakan Perasmian Subang Air Base Virtual Ultra Marathon Challenge 2021 dan Ultimate Weight Loss Challenge Serial 1/2021 bertempat di Padang Hoki Pangkalan.
Program Ultimate Weight Loss Challenge Serial 1/2021 merupakan program penurunan berat badan yang akan dilaksanakan selama sebulan mulai 5 Mac hingga 9 April 2021. Program ini disertai oleh 15 Anggota LLP yang mempunyai Body Mass Index (BMI) melebihi 27.0. Program ini menggabungkan kelas latihan fizikal dan juga kelas pemakanan yang diajar oleh pakar pemakanan.
Manakala Program Subang Air Base Virtual Ultra Marathon Challenge 2021 merupakan acara larian secara maya yang diadakan mulai 6 Mac hingga 11 Apr 21. Inisiatif pelaksanaan program ini adalah untuk menggantikan program RMAF 10 KM Challenge yang tidak dapat dilaksanakan kerana PKP. Program ini dianjurkan bersama Kelab Sukan Sosial dan Kebajikan ATM (KSSKA).
Objektif program ini adalah untuk menggalakkan Pegawai dan Anggota LLP PU Subang untuk kekal aktif dan dalam masa sama mengikuti SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Penyertaan acara larian ini juga adalah terbuka kepada semua sama ada tentera atau awam. Pendaftaran masih dibuka dan bagi yang berminat boleh mendaftar di aplikasi JOMRUN.
Perasmian ini telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM dan turut dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Eksekutif Pangkalan serta Pegawai dan Anggota LLP mengikut garis panduan daripada MKN.