SUBANG, 8 Mac 21 - Inspektor Jeneral Tentera Udara, Brig Jen Mohd Kahar bin Mohd Kassim TUDM telah mengadakan lawatan yang julung kali pada tahun ini ke No. 2 Skuadron bersempena dengan Audit Inspektorat TUDM ke atas Pangkalan Udara Subang mulai 8 Mac hingga 12 Mac 2021. Semasa lawatan tersebut, beliau telah berbesar hati untuk meluangkan masa mendengar Taklimat Projek Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) oleh Pegawai KIK No. 2 Skuadron, Kapt Mohd Zakwan bin Mohd Radzi TUDM dan seterusnya menyempurnakan pelancaran projek KIK pada tahun ini yang bertajuk Smart Patrol Guard (SPG-21).
Smart Patrol Guard (SPG-21) adalah merupakan suatu alat kawalan jauh yang digunakan untuk meningkatkan tahap keselamatan pangkalan dengan melakukan rondaan di kawasan perimeter dan juga berpagar bagi memastikan ianya selamat dari pencerobohan dan unsur sabotaj. Sistem kawalan yang digunakan adalah berasaskan mode sambungan internet yang membolehkan alat ini dikawal dari jarak jauh. Fabrikasi alat ini juga adalah menggunakan bahan yang tahan lasak serta ringan. Selain itu, alat ini juga amat sesuai digunakan untuk pelbagai situasi dan tempat.
Inspektor Jeneral Tentera Udara berasa kagum dengan idea yang telah diketengahkan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh Tim KIK No. 2 Skuadron “The Executive” yang akan bertanding dalam Pertandingan Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) TUDM 2021 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun tahun ini.