KUALA LUMPUR, 3 Mei 2021 – Ketua Pengarah Sekretariat, Brig Jen Dato’ Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM selaku Pegawai Memerintah Markas Tentera Udara (MTU) telah menyempurnakan penyampaian sumbangan Tabung Musa’adah dan sumbangan Aidilfitri peringkat Markas Tentera Udara di Dewan Salahuddin, Masjid Khalid Al-Walid hari ini.
Seramai 38 anggota MTU yang juga turut melibatkan anggota TUDM yang berkhidmat di Markas ATM telah menerima sumbangan Tabung Musa’adah. Sumbangan Musa’adah ini diberikan kepada anggota ATM yang terlibat dalam operasi di barisan hadapan bagi mengawal penularan COVID-19 serta anggota ATM yang ditimpa musibah banjir di beberapa buah negeri baru-baru ini. Selain itu, ianya turut membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh anggota yang turut terkesan berikutan penularan COVID-19 dan sebagai sokongan motivasi serta empati kepada anggota. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dan organisasi ATM dalam memelihara aspek kebajikan demi meningkatkan moral anggota.
Sementara itu, 23 anggota telah menerima sumbangan Aidilfitiri dari Tabung Kebajikan TUDM melibatkan anggota dan anak-anak warga TUDM yang mengidap sakit kronik serta anak-anak istimewa. Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu dan meringankan sedikit bebanan para penerima khususnya dalam menyambut kedatangan Syawal nanti
Turut hadir menyantuni anggota adalah Pengarah Perkhidmatan, Kol Khairudin bin Ghazaly TUDM; Pengarah Agama MTU, Kol Hj Mat Syukri bin Hj Yunus serta beberapa pegawai kanan TUDM.