BUKIT KIARA, 25 Nov 23 – Institut Pengajian Pentadbiran Dan Pengurusan (INSTAR) telah mengkoordinasikan pentadbiran Pentauliahan Jurulatih Malaysian Challenge Rope Course (MCRC) Level 3 Serial 1/22 dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg Tuan Mohd Azhari bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (KPJBSN) dan diiringi oleh Lt Kol Johan Wahidi bin Mohd Arip TUDM, Pegawai Memerintah INSTAR bertempat di Dewan Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara.
Pertauliahan ini dihadiri seramai 20 orang peserta daripada Penuntut Kursus Tali Tinggi Tahap 3 Siri 1/22 terdiri daripada 2 orang Pegawai dan 18 orang LLP (Jurulatih Jasmani). Pelaksanaan Kursus Tali Tinggi adalah untuk melahirkan jurulatih yang berkalibel dan memberi pendedahan kepada peserta di unit masing-masing dan ditauliahkan sebagai Jurulatih Tali Tinggi Malaysia oleh Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia (PJRM). Tujuan utama INSTAR adalah untuk memastikan peserta Kursus Tali Tinggi Tahap 3 Siri 1/22 kompeten dalam melaksanakan tugas sebagai Jurulatih Tali Tinggi.
Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia (PJRM) mengucapkan setinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada TUDM amnya dan INSTAR khasnya serta Kementerian Belia dan Sukan diatas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program yang berprestij ini.
Syabas diucapkan kepada semua yang telah berjaya ditauliahkan sebagai jurulatih tali tinggi tersebut.