GONG KEDAK, 11 Mei 23 – Markas Wilayah Udara 1 telah melaksanakan pemeriksaan tahunan ke atas Pangkalan Udara Gong Kedak bermula 8 hingga 11 Mei 23.
Ketibaan delegasi pemeriksaan yang diketuai oleh Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM bersama pegawai-pegawai kanan MAWILUD 1 telah disambut oleh Komander Pangkalan, Kol Mohd Faizal bin Abu Bakar TUDM bersama barisan eksekutif pangkalan. Pemeriksaan dimulakan dengan taklimat oleh pangkalan merangkumi tindakan yang telah diambil bagi teguran pemeriksaan tahun lepas serta teguran daripada Pemeriksaan Tahunan MTU-Inspektorat.
Kumpulan pemeriksaan telah dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Bahagian Penerbangan, Bahagian Operasi dan Bahagian Bantuan. Bahagian Operasi merangkumi Cawangan Operasi, PUSKOM, BOMBA, Sistem P4 dan Risik Udara manakala Bahagian Bantuan merangkumi Cawangan Kejuruteraan, Materiel dan Tadbir.
Pemeriksaan ini dilaksanakan bertujuan untuk memastikan tahap kompetensi anggota dan kesiagaan pasukan sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan tertinggi TUDM. Dengan itu, kekurangan dan kelemahan pangkalan bagi aspek keselamatan, kesiagaan dan pengurusan dapat dikenalpasti dan segera diperbetulkan.
Ketua Staf MAWILUD 1, Brig Jen Dato’ Abdul Halim bin Abu Hassan TUDM turut melawat landasan terbang Pangkalan Udara Gong Kedak manakala Timbalan Ketua Staf MAWILUD 1, Kol Tan Lai Hock TUDM melawat Menara Kawalan Udara bagi melihat dengan lebih dekat pengoperasian pangkalan serta melawat skuadron dan cawangan di bawah naungan PU Gong Kedak. Selain daripada itu, Ketua Staf MAWILUD 1 telah melihat sendiri pengoperasian serta melihat lebih dekat perihal segala isu dan cabaran yang dihadapi skuadron dan cawangan agar ianya dapat ditangani sewajarnya.
Pemeriksaan telah diakhiri dengan Taklimat Pasca Audit pada 11 Mei 23 yang disampaikan oleh Ketua Staf MAWILUD 1 dan barisan pemeriksa. Taklimat ini dihadiri oleh Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM, Kumpulan Pemeriksa dan barisan eksekutif pangkalan. Beberapa teguran dan cadangan bagi penambahbaikan telah dimaklumkan bagi memastikan pangkalan dapat bersedia sepenuhnya bagi melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang telah ditetapkan. Pemeriksaan sebegini adalah perlu sebagai "check and balance" dalam memastikan pasukan sentiasa bersiaga.
#SentiasaDiAngkasaRaya
#KuasaUdaraPerisaiKedaulatanNegara
#BeritaUdara