KUCHING, 23 Feb 23 - Bahagian Sumber Manusia, Seksyen Rekod & Pangkalan Data telah melaksanakan Pemeriksaan Dokumen Peribadi dan Butiran Peribadi Anggota di dalam HRMIS ATM ke atas Pangkalan Udara Kuching dan Skn 330 TUDM pada 21 hingga 23 Feb 23. Pemeriksaan selama tiga (3) hari ini diadakan bertujuan untuk memastikan Dokumen Peribadi dan Butiran Peribadi anggota di dalam HRMIS ATM adalah tepat, dikemaskini selari diantara dokumen fizikal anggota dengan HRMIS ATM supaya dapat digunakan sepenuhnya dalam perancangan dan pengurusan Sumber Manusia TUDM.
Sepertimana yang telah sedia maklum, Bahagian ini sentiasa merujuk dan mengguna pakai sistem ini di dalam melaksanakan perancangan dan pengurusan sumber manusia TUDM. Ini adalah bagi memastikan perancangan kerjaya, penugasan dan penempatan setiap pegawai dan anggota LLP yang dirancang sentiasa teratur dan memenuhi keperluan yang digariskan.
Objektif pemeriksaan ini dilaksanakan adalah bagi mengenalpasti permasalahan yang dialami oleh Pangkalan/Unit TUDM dalam mengemaskini butiran peribadi di dalam HRMIS ATM dan mengemaskini dengan yang betul mengikut garis panduan pengguna HRMIS ATM.
Skop pemeriksaan tertumpu kepada Butiran Peribadi melalui HRMIS ATM seperti Data Peribadi, Keluarga, Pingat, Akademik, Tatatertib, Insurans, Kursus, Waris, Gambar dan Maklumat Kesihatan (TATADEMMOT/BMI). Bahagian ini juga membuat penilaian tahap pemahaman dan kecekapan kepada anggota-anggota yang telah menghadiri Bengkel Pemantapan Penggunaan HRMIS yang telah dilaksanakan oleh Bahagian ini.
Tim Pemeriksaan kali ini diketuai oleh Kapt Muhammad Nasiruddin bin Mat Amin TUDM dan turut disertai bersama 4 x anggota LLP daripada Seksyen Rekod & Pangkalan Data sebagai pemeriksa. Pemeriksaan ini diakhiri dengan Taklimat Balas Pemeriksaan Dokumen dan HRMIS ATM kepada pihak pangkalan yang disampaikan oleh Ketua Tim yang dihadiri oleh Ketua Cawangan Tadbir PU Kuching, Lt Kol Abong anak Tibu TUDM dan Ketua Cawangan Tadbir Skn 330 TUDM, Mej Mohd Zulfadhli bin Mohd Jamil TUDM.