SENDAYAN, 7 Jun 23 - Bahagian Sumber Manusia, Seksyen Rekod & Pangkalan Data telah melaksanakan Pemeriksaan Dokumen Peribadi dan Butiran Peribadi Anggota di dalam HRMIS ATM ke atas Pangkalan Udara Sendayan pada 7 hingga 9 Jun 23. Pemeriksaan selama tiga (3) hari ini diadakan bertujuan untuk memastikan Dokumen Peribadi dan Butiran Peribadi anggota di dalam HRMIS ATM adalah tepat, dikemaskini serta dapat digunakan sepenuhnya dalam perancangan dan pengurusan Sumber Manusia TUDM.
Tim pemeriksaan ini telah diketuai oleh Kapt Muhammad Sufian bin Mohamad Nasir TUDM dan turut disertai bersama empat (4) anggota LLP daripada Seksyen Rekod & Pangkalan Data sebagai pemeriksa. Sebelum memulakan pemeriksaan, Ketua Tim telah membuat kunjungan hormat ke atas Pegawai Eksekutif Pangkalan, Lt Kol Mohd Azhar bin Mohd Yusof TUDM dan Ketua Cawangan Tadbir, Mej Adisman bin Hazari TUDM.
Sepertimana yang telah sedia maklum, Bahagian ini sentiasa merujuk dan mengguna pakai HRMIS ATM di dalam melaksanakan perancangan dan pengurusan sumber manusia TUDM. Ini adalah bagi memastikan perancangan kerjaya, penugasan dan penempatan setiap pegawai dan anggota LLP yang dirancang sentiasa teratur dan memenuhi keperluan yang digariskan.
Dalam usaha memastikan perkara ini mencapai objektif yang ditetapkan, penguatkuasaan penggunaan aplikasi HRMIS ATM di setiap peringkat Markas/Pangkalan/Unit TUDM hendaklah dilaksanakan secara optimum kerana keberkesanan sistem ini banyak bergantung kepada data-data sumber manusia yang lengkap, dikemaskini dan tersusun.
Pemeriksaan ini diakhiri dengan Taklimat Balas Pemeriksaan Dokumen dan HRMIS ATM kepada pihak pangkalan yang disampaikan oleh Ketua Tim yang dihadiri oleh Ketua Cawangan Tadbir, Mej Adisman bin Hazari TUDM. Pada sesi taklimat tersebut dibentangkan hasil penemuan, pemerhatian, beberapa teguran dan cadangan bagi penambahbaikan yang boleh diambil oleh pasukan di masa hadapan.