![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
BANDAR SRI SENDAYAN, 3 Ogos 2025 – Pangkalan Udara Labuan dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Antara Pangkalan TUDM 2025 selepas menewaskan Pangkalan Udara Kuching dengan keputusan 3-0 dalam aksi final yang berlangsung di Mini Stadium, Pangkalan Udara Sendayan.
Pertembungan akhir selama 90 minit menyaksikan dominasi sepenuhnya oleh pasukan PU Labuan yang tampil dengan corak permainan mantap dan berdisiplin, sekaligus merangkul Piala Dewa Wangsa bagi edisi kali ini.
Kejohanan tahunan ini berlangsung dari 28 Julai hingga 4 Ogos 2025 dan dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak TUDM. Matlamat utama penganjuran adalah untuk mencungkil bakat baharu serta mengenal pasti pemain berpotensi yang layak mewakili TUDM dalam Kejohanan Bola Sepak Antara Perkhidmatan 2025 yang akan datang.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM yang mewakili Panglima Tentera Udara. Turut hadir, Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kolonel Narulnizam bin Razali TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM yang lain.
Tahniah diucapkan kepada pasukan Pangkalan Udara Labuan atas kejayaan ini serta penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kejohanan yang berjaya ini.