Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Udara (TNI-AU) telah melaksanakan rondaan bersama dalam Operasi PATKOR MALINDO. Operasi tersebut telah dilaksanakan di kawasan Selat Melaka bermula pada 6 hingga 7 April 2021.
Operasi melibatkan angkatan udara ini sesungguhnya dapat meningkatkan tahap kesiagaan operasi dan kerjasama menyeluruh antara kedua-dua buah negara Malaysia dan Indonesia khususnya dalam menjaga keselamatan ruang udara dari sebarang pencerobohan. Operasi rondaan bersama selama dua hari ini secara langsung juga mengeratkan hubungan diplomatik dua hala dan diplomasi ketenteraan.
Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) bertindak sebagai penyelaras rondaan bersama (PATKOR) dengan kerjasama pihak TNI-AU. TUDM diwakili oleh No. 15 Skn, CRC1 Kuantan dan JATCC Subang. Turut sama terlibat dalam operasi kali ini ialah Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM). TNI-AU pula diwakili oleh pesawat F16 yang membuat penerbangan dari Pangkalan Udara Roesmin Nurjadin, Pekan Baru dan KOSEK HANUDNAS III Medan.