NO 10 SKN MUNCUL JUARA BOLA SEPAK ANTARA SEKSYEN PANGKALAN UDARA KUANTAN 2025

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

KUANTAN, 15 Julai 2025 - Pertandingan akhir bola sepak antara seksyen menyaksikan pertembungan sengit antara pasukan No 10 Skn dan Gabungan MATRA & TP 1 di Padang Polo PU Kuantan. Perlawanan yang penuh dramatik ini berakhir dengan kemenangan berpihak kepada No 10 Skn selepas melalui penentuan sepakan penalti yang mendebarkan.

Gabungan MATRA & TP 1 terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama, memanfaatkan peluang dengan serangan pantas yang menewaskan benteng pertahanan No 10 Skn.No 10 Skn bangkit menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian hasil gerakan berpasukan yang kemas.

Memasuki babak kedua, No 10 Skn berjaya mendahului dengan satu lagi gol, sekali gus membakar semangat penyokong mereka yang hadir memberi sorakan padu. Namun begitu, semangat juang pasukan lawan tidak pernah luntur apabila mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir permainan, memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Debaran penentuan penalti jelas terasa apabila kedua-dua pasukan saling berbalas sepakan. Detik penentu muncul apabila penjaga gol No 10 Skn, PW U II Akbar bin Hamdan menjadi wira dengan menepis kemas salah satu sepakan pasukan lawan, sekali gus memastikan kemenangan muktamad milik No 10 Skn.

Dengan keputusan tersebut, No 10 Skn secara rasmi dinobatkan sebagai juara pertandingan bola sepak interseksyen tahun ini.
Tahniah diucapkan kepada 10 Skn atas semangat juang dan kerja berpasukan yang membuahkan hasil. Syabas juga kepada Gabungan MATRA & TP 1 yang memberi saingan sengit hingga ke detik terakhir perlawanan.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Lt Kol Muhammad Halid bin Abd Hamid TUDM, Pemangku Komander Pangkalan. Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir ini, Lt Kol Idham bin Ibrahim TUDM, Pegawai Sukan Pangkalan, Lt Kol Azizul bin Kamarulzaman TUDM, Ketua Flait Kejuruteraan No 10 Skn dan Lt Kol Johari Azam bin Abu Hassan TUDM, Ketua MATRA 1.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

AGENSI DALAMAN