SUBANG, 4 Sep 23 – Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Dr. Norazrin bin Shamsudin TUDM telah merasmikan Minggu Keselamatan Pangkalan pada tahun ini dengan bertemakan ‘Waspada dan Tindak’.
Pelbagai aktiviti telah berjaya dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kesedaran serta menyampaikan maklumat terkini berkaitan dengan aspek keselamatan kepada semua warga Pangkalan Udara Subang. Selain itu, ceramah keselamatan domestik juga turut disampaikan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan dalam kalangan warga pangkalan. Dengan komitmen dan kesedaran tinggi terhadap nilai-nilai serta budaya keselamatan, Pangkalan Udara Subang bertekad dalam terus mencapai prestasi cemerlang dari aspek keselamatan domestik dan penerbangan, menjadikan ia sebagai contoh terbaik serta mencapai standard keselamatan yang tertinggi.
Antara aktiviti yang telah diselaraskan adalah ceramah dari ‘Malaysian Institute of Road Safety Research’ (MIROS), Jabatan PERHILITAN Negeri Selangor, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Polis Trafik Daerah Shah Alam, Institut Perubatan Penerbangan, 819 RSAT PU Subang, BHIC Aeroservices Sdn. Bhd. (BHICAS) dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari pasukan Skuad King Cobra yang telah mengadakan demonstrasi ‘Snake Confident’.
Pada hari terakhir, Komander Pangkalan Udara Subang turut menyempurnakan penyampaian Sijil Khidmat Terpuji (SKT), penyampaian hadiah bagi Pertandingan Menulis Artikel Keselamatan, Pertandingan Poster Keselamatan dan Pertandingan Poster Digital Keselamatan. Semoga dengan penganugerahan dan pengiktirafan yang diberikan dapat menaikkan semangat pegawai dan anggota yang lain agar lebih peka terhadap aspek keselamatan semasa berada di tempat kerja dan kediaman demi kesejahteraan sejagat.