GONG KEDAK, 1 Apr 23 - Mesyuarat Agung Tahunan BAKAT PU Gong Kedak bagi tahun 2023 telah berlangsung di Dewan Puteri, PU Gong Kedak. Mesyuarat Agung Tahunan ini telah dihadiri seramai 530 orang ahli BAKAT Pangkalan.
Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan BAKAT PU Gong Kedak telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan, Kol Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM. Turut hadir adalah Penasihat BAKAT Pangkalan, Lt Kol Juhaini binti Jaafar TUDM berserta semua Eksekutif Pangkalan. Antara intipati ucapan perasmian oleh Komander Pangkalan adalah mengharapkan supaya ahli BAKAT sentiasa memberi kerjasama dan komitmen dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan serta mengharapkan BAKAT PU Gong Kedak sentiasa dalam keadaan harmoni tanpa mengira pangkat, bangsa dan agama bagi memastikan kebajikan semua ahli BAKAT terpelihara dan terbela.
Seterusnya, Mesyuarat Agung Tahunan BAKAT dimulakan dan telah dipengerusikan oleh Pengerusi BAKAT PU Gong Kedak, Puan Zainab binti Abdullah dan turut dibantu oleh Pegawai BAKAT Pangkalan, Kapt Engku Nurul Aisyah Binti Engku Kamal Bakri TUDM serta semua Pegawai Koordinasi BAKAT Skn/Cwg. Mesyuarat diteruskan mengikut agenda yang telah ditetapkan. Antaranya adalah mengesahkan dan meluluskan minit mesyuarat yang lepas, membincangkan perkara-perkara berbangkit, pembentangan laporan kewangan oleh Bendahari BAKAT serta membentangkan aktiviti-aktiviti BAKAT yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2022.
Selain itu, mesyuarat ini dilaksanakan untuk melantik Ahli Jawatankuasa BAKAT Pangkalan yang baru serta mengekalkan beberapa Ahli Jawatankuasa BAKAT 2022 untuk menerajui BAKAT Pangkalan bagi tahun 2023. Mesyuarat juga telah membentangkan perancangan perlaksanaan aktiviti-aktiviti bagi tahun 2023. Majlis di akhiri dengan sesi soal jawab oleh ahli BAKAT yang hadir serta penyampaian sijil penghargaan dari Pengerusi BAKAT PU Gong Kedak kepada barisan AJK Tahun 2022.