MEJAR SHARAVANAKUKHAN SANMUGAM UKIR NAMA DI SESKOAU INDONESIA, TERSENARAI DALAM 10 PENUNTUT PENULISAN TERBAIK

1 2
3

 

BANDUNG, 28 Mei 2025 – Mejar Sharavanakukhan Sanmugam telah mengharumkan nama TUDM apabila berjaya menamatkan Kursus Sekolah Staf dan Komando Angkatan Udara (SESKOAU) di Lembang, Bandung, Indonesia dengan pencapaian yang membanggakan.

Sepanjang mengikuti kursus tersebut, Mejar Sharavanakukhan bukan sahaja aktif sebagai peserta malah telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang penulisan strategik apabila disenaraikan dalam kelompok 10 penulisan sastrajaya terbaik. Pengiktirafan berprestij ini menilai tahap pemikiran strategik dan keupayaan penulisan analisis yang tinggi dalam kalangan penuntut.

Kursus SESKOAU telah disertai seramai 141 pegawai terdiri daripada 123 pegawai TNI Angkatan Udara, 4 pegawai TNI Angkatan Darat, 4 pegawai TNI Angkatan Laut, 4 pegawai dari Kepolisian Negara Republik Indonesia (POLRI) serta masing-masing seorang pegawai dari Malaysia, Singapura, Arab Saudi, Australia, India dan Korea Selatan. Penyertaan pelbagai negara dalam kursus tersebut menjadikan ia platform penting dalam memperkukuh kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa.

Majlis penutup kursus telah disempurnakan oleh Kepala Staf TNI Angkatan Udara (KSAU), Marsekal TNI Mohamad Tonny Harjono, S.E., M.M. Dalam ucapan, beliau menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian para perwira. “Selamat kepada para Perwira Seskoau Angkatan ke-62 yang telah dinyatakan lulus dan berhak menyandang predikat sebagai alumni Sekolah Staf dan Komando Angkatan Udara,” ujar beliau.

TUDM turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Mejar Sharavanakukhan atas kejayaan beliau. Pencapaian tersebut bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan warga TUDM di peringkat antarabangsa, malah menjadi inspirasi kepada warga TUDM yang lain dalam usaha menjadikan warga TUDM yang lebih intelektual dan berfikiran inovatif serta mampu bersaing dengan angkatan udara yang lain di peringkat antarabangsa.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

AGENSI DALAMAN