SENDAYAN, 25 Sep 23 - Majlis Sambutan Sempena Hari Ulang Tahun (HUT) Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR) ke-51 anjuran Kursus Pembantu Pentadbiran Peningkatan Kelas I Siri 73/23 di bawah seliaan Sekolah Pentadbiran telah berjaya dilaksanakan bertempat di Dewan Angkasaraya, Pangkalan Udara Sendayan.
INSTAR adalah sebuah institusi pengajian yang bernaung di bawah Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU). Sejarah awal penubuhan INSTAR ialah melalui Sekolah Latihan Ketenteraan Am (SEKTARA) yang diwujudkan pada tahun 1972 di bawah pentadbiran TUDM Kinrara. Pada 1 Januari 1998, nama SEKTARA telah ditukarkan kepada Pusat Latihan Pentadbiran dan Pengurusan (PLPP). Seterusnya pada tahun 2016, nama PLPP telah ditukar kepada INSTAR sejajar dengan fungsi dan peranannya yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan kursus-kursus kerjaya pegawai dan anggota LLP Cawangan Tadbir melibatkan 5 buah sekolah iaitu Sekolah Pentadbiran, Sekolah Pembantu Pertahanan, Sekolah Jasmani dan Sukan, Sekolah Kulinari dan Hospitaliti serta Sekolah Muzik.
Majlis ini dimulakan dengan gimik perasmian dan dimeriahkan dengan persembahan band jemputan iaitu D’POTERA yang diselang-selikan dengan nyanyian daripada penuntut kursus serta penyampaian hadiah cabutan bertuah. Acara kemuncak majlis ialah sesi pemotongan kek HUT ke-51 INSTAR oleh Lt Kol Johan Wahidi bin Mohd Arip TUDM, Pegawai Memerintah INSTAR serta ucapan daripada beliau.
Objektif utama pelaksanaan majlis ini adalah bagi memenuhi keperluan kurikulum Kursus Pembantu Pentadbiran Peningkatan Kelas I Siri 73/23 yang melibatkan Pengurusan Majlis. Penilaian yang dijalankan kepada penuntut kursus merangkumi aspek perancangan pelaksanaan, persiapan awal, protokol dan perjalanan majlis yang diakhiri dengan sesi post mortem majlis bersama Ketua Bahagian Penilaian dan Standard, INSTAR.
Turut serta hadir dalam majlis ini adalah Mej Izuwan Hafis bin S.M. Johan TUDM selaku Ketua Jurulatih INSTAR bersama pegawai-pegawai, Pegawai Waran Institut, Pegawai Waran Latihan, barisan jurulatih, anggota LLP dan staf awam INSTAR.
Syabas diucapkan kepada penuntut Kursus Pembantu Pentadbiran Peningkatan Kelas I Siri 73/23 di atas kejayaan menganjurkan majlis yang penuh dengan kemeriahan ini. Semoga segala usaha dan kerjasama erat dari semua peringkat jurulatih, pegawai, anggota dan para penuntut kursus INSTAR dapat melahirkan generasi pegawai dan anggota LLP Cawangan Tadbir yang kompeten, berkualiti serta berketerampilan selaras dengan kehendak pucuk pimpinan TUDM.