KUCHING, 20 OKT 23 – Komander Pangkalan Udara Kuching, Kol Baharin bin Mohamad TUDM telah berbesar hati bagi menghadiri serta merasmikan Table Top Cawangan Bomba, Pangkalan Udara Kuching. Turut hadir di dalam majlis perasmian tersebut adalah Pegawai Eksekutif Pangkalan, Lt Kol Muhammad Amir bin Abdullah TUDM dan warga Cawangan Bomba, Pangkalan Udara Kuching.
Idea penghasilan table top ini telah dicetuskan oleh Ketua Cawangan Bomba, Lt Muhamad Azlan bin Mat Zuki TUDM dalam usaha mendukung menjaga keselamatan warga pangkalan serta aset negara di tahap yang optimum. Table Top ini terdiri daripada beberapa elemen seperti susun atur instalasi dan kawasan di dalam pangkalan, susun atur landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kedudukan pili bomba di dalam pangkalan dan tapak simulasi pengurusan kejadian kecemasan mengikut zon.
Diharapkan penghasilan table top ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dan mampu memacu serta meningkatkan tahap kompetensi dan kredibiliti warga Cawangan Bomba ke arah yang lebih cemerlang dalam mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi bagi Pangkalan Udara Kuching.