SUBANG, 15 Sep 22 – Ketua Staf Markas Pemerintahan Bantuan Udara, Brig Jen Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali TUDM telah menyempurnakan Majlis Penutup Minggu Keselamatan MPBU yang diadakan di Auditorium MPBU.
Minggu Keselamatan yang diadakan dari 12 Sep 22 hingga 15 Sep 22 telah berjaya mencapai objektifnya iaitu memberi kesedaran tentang kepentingan keselamatan, menyemarakkan budaya keselamatan, mendidik rasa tanggungjawab terhadap isu keselamatan dan menerapkan sikap mematuhi arahan keselamatan.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang Minggu Keselamatan antaranya adalah ceramah yang disampaikan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Petaling, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Shah Alam, Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera dan Pegawai Keselamatan Pangkalan Udara Subang.
Turut diadakan pada hari kedua adalah aktiviti pameran di ruangan legar Markas yang disertai oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).
Semasa ucapan penutup Minggu Keselamatan, Ketua Staf MPBU telah menyampaikan amanatnya berkaitan kepentingan menjaga keselamatan oleh setiap warga Markas termasuklah kepentingan keselamatan maklumat-maklumat berdarjah yang perlu dipertingkatkan sebilang masa.
Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada Sel Keselamatan, Sel Integriti dan Sel Anti Dadah MPBU yang telah menjayakan penganjuran Minggu Keselamatan peringkat MPBU dengan cemerlang dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari warga MPBU. Adalah diharapkan agar program sebegini dapat memberi manfaat dan faedah kepada seluruh warga Markas.