KUALA LUMPUR, 15 Okt 21 – Majlis Penutup Kursus Risik Udara LLP TUDM Siri 13/21 telah dirasmikan oleh Pengarah Perisikan TUDM, Kol Anuar bin Che Mi TUDM bertempat di Auditorium Pusat Muzik dan Kesenian (MUKES).
Kursus ini telah berlangsung selama 5 hari iaitu mulai 11 hingga 15 Okt 21 yang disertai seramai 23 orang peserta kursus, terdiri daripada pelbagai ketukangan dan pangkalan. Kursus Risik Udara LLP TUDM yang dilaksanakan ini bertujuan memberi pendedahan kepada anggota, berkenaan tugas-tugas asas perisikan bagi merangkumi aspek perisikan keselamatan risik balas dan perisikan operasi udara.
Antara objektif utama KRULLP ini adalah:
1. Memberi pendedahan dan pengetahuan dalam bidang perisikan udara serta berupaya untuk mengendalikan operasi pejabat perisikan pangkalan dan unit.
2. Membantu mempersiapkan diri dengan kebolehan menjalankan tugas-tugas staf perisikan operasi dan taktikal terutama sekali dalam domain peperangan udara, maritim dan siber.
3. Menjana minda menganalisis secara sistematik yakni memahami kekuatan dan kelemahan sesuatu isu, kebolehan menilai secara kritis dan melihat sesuatu perkara secara holistik/menyeluruh untuk menghasilkan keputusan yang tepat.
4. Memperkasa kefahaman dan kesedaran dalam mengenalpasti dan menangani ancaman keselamatan disekitar pangkalan udara atau unit sekaligus membantu Pegawai Risik Pangkalan serta Komander dalam meningkatkan kesedaran dan memperkasa operasi perisikan dan aktiviti keselamatan setempat.
Pengarah Perisikan TUDM juga pada masa yang sama mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua peserta kerana telah menamatkan kursus ini dengan jayanya dan berharap agar semua ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan pada masa akan datang.