MAJLIS MAKAN BERADAT SEMPENA ISTIADAT PENTAULIAHAN DIRAJA PEGAWAI KADET PALAPES UDARA UNIVERSITI AWAM TAHUN 2023

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

ALOR SETAR, 10 Sep 23 - Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara (MPSTU) telah melaksanakan Majlis Makan Beradat Sempena Istiadat Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Udara Universiti Awam Tahun 2023 yang diadakan di Hotel Grand Alora, Alor Setar.

Seramai 362 orang Pegawai Kadet PALAPES Udara yang ditauliahkan telah diraikan pada majlis makan beradat tersebut. Istiadat pentauliahan pada kali ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah pada 9 September 2023 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Majlis diserikan dengan kehadiran Komandan Kolej Tentera Udara, Brig Jen Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM yang mewakili Panglima Tentera Udara, Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara, Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM, Pegawai Laksana KTU, Kol Ungku Suhaini bin Ungku Ahmad TUDM, Pegawai Memerintah ITAS, Kol Rizam bin Ibrahim TUDM, Pegawai Tauliah Kehormat UMP, Lt Kol (Kehormat) Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed PSSTUDM dan PS 1 Latihan MPSTU, Lt Kol Mohamed Nizam bin Zakariah TUDM.

Majlis ini diadakan untuk menerapkan, mengekalkan dan meneruskan budaya ketenteraan bukan sahaja dalam kalangan Angkatan Tetap malahan juga dalam kalangan Pasukan Simpanan.

Dalam majlis ini, Komandan KTU telah memberikan anugerah kepada lapan ( 8 ) orang Pegawai Kadet Terbaik dari 8 Unit PALAPES Udara Universiti Awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Dalam ucapan beliau menyatakan bahawa gabungan kedua-dua elemen kemahiran ketenteraan dan kepakaran profesional dalam pelbagai bidang akan memberi kesan kepada usaha meningkatkan keupayaan pertahanan negara. Kepakaran dan kemahiran generasi baru amat diperlukan dalam menyumbang idea, kepakaran dan kemahiran bagi mengekalkan TUDM sebagai Angkatan tentera yang kredibel dan disegani. Beliau turut berharap agar Pegawai-Pegawai Muda PSSTUDM terus komited dan beriltizam serta berusaha dengan sebaik mungkin untuk meneruskan perjuangan demi mencapai matlamat dan cita-cita yang diidamkan. Beliau juga turut menyantuni dan beramah mesra dengan semua pegawai yang hadir.

Sekalung tahniah kepada semua Pegawai Muda PSSTUDM yang telah ditauliahkan dan diraikan di dalam majlis ini.