IPOH, 6 Mac 23 – Majlis Angkat Sumpah dan Serah Terima Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 66/23 telah berlangsung hari ini bertempat di Padang Kawad A, Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh, Perak.
Upacara Angkat Sumpah pada siri kali ini melibatkan seramai 400 orang calon PjM U terdiri daripada 346 orang calon dari Semenanjung dan 54 orang calon yang berasal dari Kepulauan Borneo. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan diikuti dengan lafaz Ikrar Taat Setia daripada calon PjM U Siri 66/23.
Majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Sijil Serah Terima PjM U Siri 66/23 di antara Mej Mohd Yusri bin Hassan TUDM, Pegawai Staf 2 Kerjaya dan Pengambilan-Bahagian Sumber Manusia selaku Pegawai Angkat Sumpah dengan Lt Kol Hasruddin bin Hashim TUDM, Ketua Jurulatih ATU yang disaksikan oleh Kol Junairi bin Baharom TUDM, Komandan ATU.
Sesi pemilihan akhir calon PjM U Siri 66/23 telah bermula pada 18 Feb 23 dimulai dengan peringkat temuduga tred atau ketukangan oleh Pegawai dan Pegawai Waren daripada MTU-BSM Rancang LLP pada 25 dan 26 Feb 23 manakala Lembaga Pemilihan Akhir PjM U telah dipengerusikan oleh Brig Jen Nazaruddin bin Haron TUDM, AKS Sumber Manusia pada 28 Feb 23.
Seramai 504 orang calon telah hadir dalam sesi pemilihan akhir Zon Semenanjung ini. Selama lebih dua minggu calon berkampung di Sekolah Latihan Perajurit Muda (SLPM), ATU untuk menjalani beberapa peringkat temuduga di antaranya ujian saringan kesihatan, ujian bertulis, ujian kecergasan asas dan lembaga pemilihan akhir.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua calon yang berjaya menempatkan diri dalam senarai PjM U Siri 66/23 kali ini. Semoga berjaya menjalani latihan selama 24 minggu dengan penuh bersemangat. Segala ilmu dan cabaran hendaklah ditempuh dengan cekal bagi membentuk jati diri yang utuh dalam melahirkan pejuang yang akan berbakti kepada agama dan tanah air tercinta.
#WargaUdara
#PengambilanTUDM
#SentiasaDiAngkasaRaya