LAWATAN KEBAJIKAN DAN PENYERAHAN SUMBANGAN KEPADA ANGGOTA (ANAK SAKIT KRONIK) PU GONG KEDAK

1 2 3
4 5 6

 

KETEREH, 6 Jun 23 – Komander Pangkalan, Kol Mohd Faizal bin Abu Bakar TUDM dan isteri, Mej Tytin Sabrina binti Mustafa TUDM selaku Pengerusi BAKAT Pangkalan telah mengadakan lawatan kebajikan ke atas anak anggota Terminal Peluru 4, Kpl U Mohamad Nadzree bin Mohd Hadee di Kampung Cengal, Ketereh, Kelantan.

Adik Mohamad Adam Eerham bin Mohamad Nadzree, 12 tahun disahkan menghidap penyakit Hydrocephalus. Hydrocephalus adalah pembentukan cecair dalam rongga di dalam otak. Cecair yang berlebihan meningkatkan saiz ventrikel dan meletakkan tekanan pada otak. Lebihan cecair otak berlaku kerana beberapa sebab, antaranya terdapat halangan atau ketumbuhan yang menghalang penyaliran cecair otak secara normal. Halangan yang berlaku menyebabkan cecair otak berkumpul dan akan mengakibatkan peningkatan tekanan dalam otak seterusnya mengganggu perkembangan otak dan saraf tunjang.

Dalam lawatan ini, Komander Pangkalan telah memberikan sumbangan mewakili Timbalan Panglima Tentera Udara serta sumbangan khusus daripada beliau dan keluarga. Seterusnya, Mej Tytin Sabrina binti Mustafa TUDM selaku Pengerusi BAKAT Pangkalan bersama ahli BAKAT yang lain turut menyerahkan sumbangan kebajikan daripada BAKAT TUDM. Turut hadir dalam lawatan tersebut adalah Ketua Cawangan Tadbir, Lt Kol Juhaini binti Jaafar TUDM dan Ketua Terminal Peluru 4, Mej Sameri bin Che Mamat TUDM.

Semoga dengan lawatan dan penyerahan sumbangan ini dapat meringankan beban bagi Kpl U Mohamad Nadzree bin Mohd Hadee dan isteri, Puan Siti Aidawati binti Che Rahim disamping mencerminkan keprihatinan pucuk pimpinan TUDM dalam menjaga kebajikan waris anggota.