LUMUT, 1 DISEMBER 2022 – Institut Teknologi Senjata dan Bahan Letupan TUDM telah mengadakan lawatan ke Pangkalan TLDM, Lumut pada 28 hingga 30 Nov 22 yang lalu bagi memperkasakan hubungan di antara TUDM dan TLDM dalam pencambahan idea dan pertukaran pendapat berkenaan kepakaran dan kesiapsiagaan pemusnahan bahan letupan dan Improvised Explosive Device (IED).
Seramai 17 pegawai dan anggota LLP daripada ITSBL telah terlibat lawatan ini yang diketuai oleh Pegawai Memerintah ITSBL iaitu Lt Kol Mior Aminuddin bin Mior Dahalan TUDM. Lawatan kali ini telah memperlihatkan aset-aset dan tenaga kerja oleh anggota TLDM di Depot Peluru dan Bahan Letupan Barat (DPBLB), KD Duyong dan kapal KD Lekiu.
Tujuan lawatan ini adalah bagi melihat prosedur-prosedur penyimpanan dan penyelengaraan bahan letupan yang dilaksanakan di samping menambahkan ilmu pengetahuan terhadap bahan letupan yang dimiliki oleh pihak TLDM. Tambahan itu, pihak ITSBL juga berkesempatan diperkenalkan peralatan-peralatan yang digunapakai dalam menangani sebarang bentuk ancaman atau Unexploded Ordnance (UXO) seperti Water Distruptor, Jammer dan X-ray machine.
Lawatan diakhiri dengan menaiki kapal perang TLDM iaitu KD Lekiu dalam melihat sistem pensenjatan yang digunakan serta diterangkan fungsi-fungsi pengoperasian kapal tersebut ketika latihan dan operasi.