LATIHAN SEASAR GADING MENGUJI KECEKAPAN DAN KESIAGAAN ANAK KAPAL PESAWAT EC 725 AP DAN PASUKAN KHAS UDARA (PASKAU) TUDM

1 2 3
4 5 6

 

No. 10 Skn dari PU Kuantan di bawah seliaan Markas Wilayah Udara 1 (MAWILUD 1) telah melaksanakan latihan Sea Search and Rescue GADING (SEASAR GADING) di sekitar kawasan latihan Pulau Perhentian dan mendapat bantuan teknikal serta kerjasama daripada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Latihan ini adalah julung kali diadakan oleh pihak skuadron bagi memenuhi keperluan latihan perairan bagi anggota Detasmen Combat Air Rescue (CAR) No. 10 Skn.

Latihan ini bertujuan untuk mengekalkan tahap kesiapsiagaan anak kapal pada tahap tertinggi serta meningkatkan kecekapan dan kompetensi anak kapal dan anggota Det CAR dalam melaksanakan tugas carilamat.

Latihan ini diketuai oleh Lt Kol Muhammad Fazri bin Md Zin TUDM, Pegawai Memerintah No 10 Skn. Antara latihan yang dijalankan adalah Life Hoisting and Transaco Procedure Day/Night, Navigasi Bot Siang dan Malam, Waterjump dan latihan menyelam bagi anggota CAR.

SEASAR GADING ini telah dilaksanakan pada 1 hingga 8 Sep 21. Sepanjang latihan berlangsung, semua anggota yang terlibat telah memberi komitmen dan mengekalkan tahap disiplin yang tinggi. Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada APM yang diketuai oleh Tuan Ahmad Amri bin Abdullah yang telah membantu menjayakan latihan SEASAR GADING ini.

Secara keseluruhannya, latihan kali ini telah mencapai objektif dan misi yang telah ditetapkan dengan kerjasama jitu dan usaha bersepadu semua pihak yang terlibat. Latihan ini berjaya dilaksanakan dalam memperkasa tahap kompetensi dan kesiagaan anggota TUDM sebagai persediaan sekiranya konflik sebenar berlaku.

#TUDMMampanRuangAngkasaAman
#SentiasaDiAngkasaRaya