LATIHAN PRE ACCIDENT PLAN (PAP) OFFBASE PANGKALAN UDARA LABUAN TINGKAT KERJASAMA DENGAN AGENSI LUAR LAKSANA TUGAS MENYELAMAT

1 2 3
4 5 6
8 9 11

 

15 Dis 22 – Pangkalan Udara Labuan di bawah kelolaan Pegawai Keselamatan Pangkalan, Mej Nurrul Nisha Maanor TUDM serta Base Safety Committee telah berjaya melaksanakan satu latihan Pre Accident Plan (PAP) Offbase bagi tahun 2022 bertempat di Surrender Point Pantai Layangan.

Latihan pada kali ini melibatkan sebuah pesawat C-130 dari No 14 Skuadron dan sebuah Helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron, Skuadron HANDAU, BOMBA TUDM, RSAT dan juga Cawang Kejuruteraan Pangkalan Udara Labuan. Pada masa yang sama, latihan kali ini turut melibatkan agensi luar seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kecemasan dari Hospital Nukleus Labuan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Perbadanan Labuan.

Senario yang dipilih pada tahun ini telah melibatkan pesawat C-130 yang telah mengalami kegagalan enjin sewaktu melaksanakan penerbangan rutin. Pesawat tersebut telah mengalami gegaran yang sangat kuat pada bahagian enjin sehingga terpaksa pulang ke pangkalan. Keadaan bertambah teruk apabila keadaan cuaca amat buruk sehingga menyebabkan pesawat tersebut tidak dapat melakukan pendaratan malah selepas melakukan "overshoot", pesawat tersebut mengalami gegaran pada enjin yang lain sehingga terpaksa melakukan pendaratan cemas di pesisir pantai atau Ditching.

12 13 14
15 16 17
18 19 20

 

Tujuan utama latihan ini dilaksanakan adalah untuk memastikan serta menguji kecekapan Pasukan Penyelamat TUDM selain koordinasi kerjasama bersama agensi-agensi penyelamat di Wilayah Persekutuan Labuan dalam menyelamatkan mangsa serta pesawat apabila berlakunya pendaratan cemas ataupun terhempas yang melibatkan mangsa yang ramai. Sepanjang latihan ini berlangsung, setiap unit penyelamat TUDM akan dinilai oleh penilai yang telah dilantik bagi memastikan mereka mengikut senarai semak PAP Pangkalan Udara Labuan yang telah ditetapkan.

Pegawai Eksekutif Pangkalan, Lt Kol Rosli bin Hashim TUDM mewakili Komander Pangkalan serta barisan Eksekutif Pangkalan juga turut hadir bagi melihat kecekapan pasukan keselamatan PU Labuan serta agensi luar ketika melaksanakan tugas me-nyelamat.

Dalam ucapan penutup dari Pegawai Eksekutif Pangkalan, beliau menjelaskan bahawa latihan sebegini sewajarnya dilaksanakan untuk memastikan semua bersiap sedia termasuk melibatkan koordinasi di antara pihak TUDM dan agensi luar sekiranya berlaku kejadian yang sebenar. Latihan ini juga dapat dilihat sebagai satu platform untuk meningkatkan tugas menyelamat dengan lebih efektif dan efisien.