KUCHING, 13 JUN 23 – Cawangan Bomba, Pangkalan Udara Kuching buat julung kalinya telah melaksanakan kunjungan hormat serta lawatan kepada Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Sarawak diketuai oleh Ketua Cawangan Bomba, Pangkalan Udara Kuching, Lt Muhamad Azlan bin Mat Zuki TUDM dan disambut baik oleh Komandan Akademi, PgKB II Jesica Anak Sylvester Embuas.
Objektif utama kunjungan hormat dan lawatan ini dilaksanakan adalah bagi mengeratkan hubungan baik dan persefahaman di antara kedua-dua belah agensi melibatkan Bomba TUDM dan ABPM dalam perspektif dan bidang yang diterajui bersama iaitu latihan, kebombaan dan menyelamat. Perkongsian dan pertukaran ilmu serta pendapat sesama agensi dalam bidang kebombaan dan menyelamat dapat dilaksanakan bersama sekaligus dapat memberi buah fikiran dalam meningkatkan tahap keupayaan dan kredibiliti Bomba TUDM itu sendiri ke arah yang lebih cemerlang.
Lawatan diteruskan dengan pihak akademi menerangkan sejarah, tugas dan tanggungjawab ABPM Wilayah Sarawak seterusnya memperkenalkan fasiliti dan simulator latihan kebakaran yang terdapat di akademi tersebut. Seterusnya, upacara menandatangani buku lawatan dan sesi bergambar telah dilaksanakan di penghujung lawatan tersebut.