GONG KEDAK, 19 Jan 2023 - Pangkalan Udara Gong Kedak dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan telah melaksanakan program derma darah di Dewan Puteri PU Gong Kedak. Program ini merupakan inisiatif pihak Pangkalan bersama HRPZ II dalam membantu menangani masalah kekurangan bekalan darah berikutan peningkatan kes yang memerlukan rawatan transfusi darah.
Program Derma Darah ini melibatkan tiga (3) Pegawai Perubatan dan 19 Kakitangan Hospital Raja Perempuan Zainab II serta dua (2) Pegawai Perubatan dan empat (4) anggota LLP dari RSAT Pangkalan. Program ini mendapat sambutan daripada 109 warga pangkalan yang terdiri daripada anggota dan Staf Tadbir Awam namun hanya seramai 101 orang yang layak untuk menderma darah. Komander Pangkalan, Kol Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM turut hadir sama bagi memantau perkembangan program tersebut manakala Pengerusi BAKAT Pangkalan, Puan Zainab binti Abdullah turut hadir dan turut serta menderma darah.
Pihak Tabung Darah HRPZ II Kota mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak TUDM amnya serta PU Gong Kedak khasnya terhadap sikap keprihatinan dan tanggungjawab terhadap masyarakat.